KUALA TERENGGANU – Seorang peniaga kosmetik dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis Methamphetamine seberat 1.02 kilogram, hujung bulan lepas.
Abdul Rahman Mohamad Hussain, 36, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak.
Tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Lelaki itu didakwa mengedar dadah berkenaan di sebuah kedai di Paya Keladi di sini pada 8.40 malam 28 April lepas.
Kesalahan di bawah Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) yang jika sabit kesalahan boleh dihukum dengan hukuman mati, atau penjara seumur hidup dan disebat tidak kurang dari 15 sebatan jika tidak dihukum mati.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ely Nazihah Ahmad Yunus manakala Abdul Rahman tidak diwakili peguam dan 21 Julai ditetapkan untuk sebutan semula kes.
— BERNAMA