KUALA LUMPUR – Pelatih-pelatih yang menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri 2 menyatakan keterujaan masing-masing untuk mengikuti latihan yang akan diharungi sepanjang tempoh 45 hari.
Rata-rata mereka yang ditemui MalaysiaGazette beriltizam untuk menamatkan program berkenaan dengan semangat yang tinggi.
Malah, ada dalam kalangan mereka merasakan bertuah kerana dapat menyertai program yang disifatkan penuh pengisian dan bermanfaat untuk menjadi warganegara yang sayangkan tanah air.
Nur Adila Syafinas Mohd Shafirdaus, 18, berkata, dia rasa sangat seronok untuk mengikuti program itu merupakan satu pengalaman baru dalam hidupnya.

Katanya, tidak semua orang dapat mengikuti program seumpama itu dan penerimaan penyertaan yang dibuat secara atas talian benar-benar menghidupkan jatidirinya untuk berbakti kepada negara satu hari nanti.
“Saya sangat teruja sebab saya memang nak masuk PLKN. Sejak dulu lagi, teringin nak jadi askar sebab nak cabar diri sendiri. Tetapi, dengan ketinggian saya tak mencapai jadi tak dapatlah,” kata Nur Adila.
Perasaan sama turut dikongsikan Manissa Vikneswaran, 18, yang merasakan, ia sebagai satu pengalaman baru yang mungkin tidak akan dilupakan dalam hidupnya.
Meskipun tidak bercita-cita untuk menjadi seorang perajurit, namun, latihan yang akan dilalui nanti sudah cukup bagi dirinya untuk menjadi seorang warganegara yang berguna untuk nusa dan bangsa.

“Saya berharap dapat capai banyak perkara. Pertama sekali, saya nak cari ramai kawan. Saya juga nak jadi lebih cergas, nak jaga kesihatan dan sertai semua aktiviti di sini dengan komitmen 100 peratus,” ujar Manissa yang berasal dari Negeri Sembilan.
Sementara itu, seorang peserta dari Sabah, Ivyanna Errica Peter, pula berkata, dia yakin dengan menyertai program itu dia akan menjadi seorang yang lebih matang.
Jelasnya, dia sememangnya suka dengan aktviti lasak dan menyertai PLKN merupakan satu keputusan tepat yang dibuat olehnya.
“Harapan saya supaya diri ini lebih matang dan juga disiplin. Usia pun sudah mencecah 17 tahun. Dalam PLKN ini banyak juga aktiviti lasak, saya pula memang minat dengan aktiviti-aktiviti sebegitu,” kata Ivyanna yang berasal dari Penampang.

Seramai 200 peserta wanita dipanggil untuk menyertai program berkenaan yang akan ditempatkan di di Kem 515 Askar Wataniah, Kementah di sini.
Sementara, pendaftaran bagi kategori lelaki diadakan di Kem Rejimen 505 Askar Wataniah Pekan, Pahang, dengan sasaran lebih 300 peserta. – MalaysiaGazette