Pelatih beratur pada sesi Pendaftaran Pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri 2/2025 di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Kuala Lumpur. Foto MALAYSIA GAZETTE, 12 JANUARI 2025.

KUALA LUMPUR – Peserta-peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 yang tidak sempat untuk mendaftar pada hari ini diberi tempoh sehingga Selasa untuk mereka berbuat demikian.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Mejar Jeneral Datuk Yaacob Samiran berkata, kelonggraan itu diberi kerana terdapat permohonan khususnya bagi peserta yang datang dari tempat jauh.

Katanya, peserta yang lewat tidak perlu terburu-buru untuk mendaftar kerana nama mereka sudah ada di dalam sistem dan sememangnya telah mendapat panggilan.

Ketua Pengarah JLKN, Mejar General Datuk Ya’cob Samiran bercakap pada media berkenaan sesi Pendaftaran Pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri 2/2025 di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Kuala Lumpur. Foto MALAYSIA GAZETTE, 12 JANUARI 2025.

“Kepada mereka yang ada halangan untuk hadir hari ini dari tempat yang juah dan belum sempat sampai ke sini, kita juga beri peluang kerana ada juga yang mohon untuk sedikit lewat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat tinjauan kemasukan peserta-peserta Program PLKN 3.0 siri kedua 2025, di Kem 515 Askar Wataniah, Kementah di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Yaacob berkata, seramai 200 peserta wanita bagi program siri kali ini diambil dan ditempatkan di kem berkenaan untuk menjalani Latihan selama 45 hari sehingga 24 Jun ini.

Manakala katanya, bagi seramai 350 orang peserta lelaki pula akan ditempatkan di Kem Rejimen 505 Sungai Miang dekat Pekan, Pahang.

Pelatih bergambar bersama ahli keluarga pada sesi pendaftaran pada sesi Pendaftaran Pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri 2/2025 di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Kuala Lumpur. Foto MALAYSIA GAZETTE, 12 JANUARI 2025.

Bagaimanapun katanya, terdapat kehadiran remaja secara sukarela untuk mendaftar sebagai peserta bagi program pada kali ini.

Ujar beliau, ketika ini pihaknya ada menerima sebanyak 30 permohonan baharu, namun keutamaan diberikan terlebih dahulu kepada mereka yang sudah terpilih.

Tambahnya, jika terdapat kekosongan, barulah pihaknya akan memanggil peserta yang datang secara walk-in.

PLKN 3.0 yang diperkenalkan semula sebagai program nasional berfokuskan pembangunan belia secara holistik, dilihat selari dengan aspirasi negara untuk melahirkan generasi muda yang berdisiplin, berdaya saing dan memiliki semangat kenegaraan yang tinggi.

Ia menekankan latihan ketenteraan ringan, pembinaan karakter dan kemahiran asas dalam usaha melahirkan generasi muda yang berdisiplin tinggi, berdaya tahan dan berwibawa. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here