Ahmad Fadhli Umar Aminolhuda

JOHOR BAHRU – Pemuda Amanah Nasional menyifatkan kenyataan Datuk Dr Akmal Saleh sebagai angkuh apabila menolak cadangan agihan kerusi 14-14 dalam kerajaan campuran negeri Melaka.

Exco Pemuda Amanah Nasional, Fadhli Umar Aminolhuda berkata, kenyataan Ketua Pemuda UMNO itu juga dianggap tidak sensitif terhadap usaha memperkukuh kestabilan politik demi kepentingan rakyat negeri tersebut.

Tindakan itu juga katanya, tidak mencerminkan semangat muafakat dalam Kerajaan Perpaduan.

“Formula 14-14 adalah cadangan adil yang mencerminkan semangat setiakawan serta kesamarataan antara parti-parti komponen kerajaan, khususnya antara UMNO dan Pakatan Harapan (PH) di Melaka.

“Sebarang cubaan untuk mendominasi atau meminggirkan rakan kongsi bukan sahaja akan mencetuskan ketegangan dalaman, malah boleh menggugat kestabilan kerajaan yang sedang dibina bersama,” katanya dalam satu kenyataan.

Fadhli turut mengingatkan peranan besar penyokong PH yang membantu kemenangan calon-calon Barisan Nasional (BN) dalam beberapa pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini.

“Jangan dilupa bagaimana undi teras daripada penyokong PH banyak membantu kemenangan calon BN di DUN Mahkota dan Ayer Kuning. Ini jelas membuktikan semangat kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan,” tegasnya.

Beliau berkata, Kerajaan Perpaduan tidak boleh berteraskan penguasaan sebelah pihak, sebaliknya perlu dibina atas asas persefahaman dan idealisme bersama.

“Politik ego perlu dibuang. Sayap Pemuda bukan medan angkuh, tetapi ruang membina negara dengan jiwa besar. Saya menyeru agar Dr Akmal menarik balik kenyataannya dan kembali kepada semangat muafakat,” katanya.

Tambah beliau, hanya melalui perpaduan, kejayaan dapat dicapai secara kolektif demi masa depan rakyat dan kestabilan negara.

Sebelum ini, DAP Melaka menegaskan bahawa cadangan pembahagian kerusi 14-14 antara BN dan PH untuk PRN akan datang hanyalah usul yang dibincangkan serta diluluskan pada peringkat cawangan sahaja dan bukan di peringkat negeri.

Setiausaha Publisiti DAP Melaka, Kerk Chee Yee berkata, tiada sebarang rundingan rasmi mengenai pembahagian kerusi dijalankan setakat ini kerana perkara tersebut biasanya diuruskan oleh kepimpinan tertinggi parti melalui perbincangan antara parti komponen. -MalaysiaGazette

 

 

Menurutnya, cadangan pembahagian kerusi itu dibuat berdasarkan prestasi PH pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang menunjukkan sokongan kuat pengundi di Melaka.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here