JOHOR BAHRU – Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Johor Bahru, Mohamad Taufiq Ismail meminta Timbalan Presiden (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli agar menarik balik kenyataannya terhadap beliau yang disifatkan menghina dan menyinggung perasaan.

Beliau amat kesal dengan tuduhan tersebut yang dianggap tidak berasas sekali gus meremehkan keupayaannya sebagai ketua cabang yang baru dipilih bagi penggal 2025-2028.

“Adalah sangat dikesali apabila seorang pemimpin kanan seperti YB Rafizi memilih untuk membuat kenyataan bersifat peribadi yang tidak berlandaskan fakta dan hanya mencetuskan persepsi negatif terhadap saya yang hanya mahu lakukan perubahan positif dan berusaha membina semula kekuatan di peringkat akar umbi cabang Johor Bahru.

“Tuduhan yang dilemparkan tidak disertakan dengan sebarang bukti yang konkrit dan ianya jelas berniat untuk meremehkan sumbangan serta keupayaan saya sebagai ketua cabang. Beliau melabel saya sebagai eorang ‘budak yang kita tak pernah kenal’.

“Kenyataan ini bukan sahaja tidak wajar dan tidak berfakta, malah bertentangan dengan semangat demokrasi serta prinsip hormat-menghormati dalam parti. Saya bukan ‘budak’ seperti yang digambarkan.

“Tetapi saya seorang aktivis akar umbi yang telah berkhidmat, berjuang dan membina kepercayaan anggota parti hingga diberikan mandat sebagai Ketua Cabang pada hari ini.

“Hanya kerana saya bertanding melawan Akmal Nasir (semasa pemilihan Ketua PKR Cabang Johor Bahru) dan tidak berada dalam lingkungan dalaman tertentu, tidak bermakna saya tidak dikenali atau tidak berkelayakan,” katanya dalam kenyataan.

Menerusi podcast Yang Bakar Menteri: Yang Berhenti Menteri di Dewan Serbaguna MBSJ, malam tadi, afizi yang juga Menteri Ekonomi dan bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan kali ini membuat dakwaan dan tuduhan tersebut terhadap Taufiq.

Taufiq mengalahkan Akmal Nasrullah yang juga Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air dan kemenangan itu melahirkan rasa tidak puas hati Akmal.

Akmal yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru didakwa daripada kem Rafizi dan keputusan pemilihan membuatkan bantahan di peringkat Pusat sebelum Taufiq turut membuat bantahan terhadap tindakan Akmal.

Mengulas lanjut, Taufiq berkata, tuduhan dan penghinaan peribadi seperti itu hanya melemahkan perpaduan parti dan mencerminkan ketidakmatangan dalam berpolitik.

“Untuk pengetahuan YB, saya merupakan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Johor dan mantan Ketua AMK Cabang Johor Bahru bagi penggal yang lepas.

“Jika benar YB Rafizi tidak mengenali Taufiq Ismail lagi, mungkin sudah tiba masanya YB wajib dan harus lebih turun ke bawah dalam menyantuni pemimpin-pemimpin akar umbi yang sedang giat bekerja untuk parti. Saya menyeru agar YB Rafizi menghentikan sebarang bentuk penghinaan terbuka terhadap pemimpin parti yang telah sah dipilih,” katanya.

Beliau berpendapat, adalah sangat dangkal menilai kelayakan seseorang pemimpin semata-mata berdasarkan status pekerjaan atau hubungan peribadi dengan pimpinan atasan.

Justeru katanya, kenyataan Rafizi itu adalah tidak wajar, bersifat prejudis dan tidak mencerminkan budaya politik matang yang sepatutnya diamalkan pimpinan tertinggi parti.

Tegas beliau, PKR tidak dimiliki oleh satu kelompok elit sahaja tetapi milik seluruh rakyat yang menganggotainya dan ahli yang bekerja tanpa henti di peringkat bawah.

“YB juga ada menyebut ‘kartel’ baharu yang akan muncul dan kena ingat kartel itulah yang sedang dibina oleh pasukan hiruk itu sendiri apabila mewujudkan perbezaan dan jurang yang besar dengan membeza-bezakan latar belakang pendidikan dan mengasingkan diri untuk kelihatan seperti golongan elit dan tidak pandang ke bawah.

“Golongan ini jugalah yang boleh diklasifikasikan sebagai ‘pak turut’ dan ‘kaki ampu’ seperti mana yang dicakap oleh YB sendiri. Kenyataan seperti ini mengabaikan realiti bahawa ramai pemimpin muda dan baharu telah muncul dengan keupayaan sendiri melalui kerja keras dan komitmen terhadap perjuangan parti,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here