MARAN – Polis berjaya menahan tiga lelaki yang terlibat dalam kes samun berkawan tanpa senjata di Felda Jengka 8 dalam tempoh 15 jam.
Ketua Polis Maran Superintendan Wong Kim Wai berkata suspek lingkungan 29 hingga 51 tahun telah berjaya ditahan dalam beberapa siri serbuan di daerah Jerantut dan Bandar Jengka pada 10 Mei 2025.
Menurutnya tangkapan pertama dilakukan pada pukul 12 tengah hari membabitkan dua lelaki telah ditahan di sebuah rumah di daerah Jerantut, di mana masing-masing berusia 29 dan 51 tahun.
”Kedua-dua suspek kes tangkapan pertama mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kesalahan berkaitan 13 kes dadah dan dua kes jenayah.
”Manakala tangkapan kedua berjaya dilakukan pada jam 2.15 petang hari yang sama, di mana suspek ketiga berumur 30 tahun telah ditahan dalam Daerah Maran.
”Suspek ini turut mempunyai beberapa rekod jenayah lampau iaitu sebuah kes jenayah dan enam kes dadah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurutnya pada 9 Mei 2025 jam lebih kurang 11.30 malam, pengadu yang bertugas sebagai anggota polis menerima maklumat dari orang awam berhubung satu kejadian pecah rumah melibatkan senjata tajam di alamat 151, Felda Jengka 8.
Ketika kejadian mangsa merupakan lelaki berusia 34 tahun yang tinggal berseorangan itu mahu ke dapur untuk minum air dan didatangi tiga orang suspek.
Akibat disamun, mangsa telah mengalami kerugian RM16,000 itu dikatakan tidak melawan selepas diancam akan ditikam ketiga-tiga suspek yang bertopeng itu.
“Dua daripada suspek mengikat tangan mangsa menggunakan tali nilon dan mengikat kakinya menggunakan tali pinggang.
“Seorang lagi suspek meletakkan sesuatu objek berbalut kain di kepala mangsa dan telah mengambil beg galasnya,” katanya.
Tambahnya, selepas mengambil semua barangan berkenaan, suspek memberitahu mangsa akan datang semula dan terus melarikan diri menggunakan kereta mangsa jenis Proton Saga FLX milik mangsa.
Bagaimanapun katanya, mangsa berjaya melepaskan ikatan pada tangan dan kakinya untuk meminta bantuan orang kampung serta membuat laporan polis.
Kim Wai berkata kesemua suspek telah mengaku terlibat secara langsung dalam kejadian samun ini dan proses reman ke atas semua susspek dipohon bagi menjalankan siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, di mana sekiranya disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara yang boleh sampai 20 tahun dan bolehlah juga dikenakan sebat. – MalaysiaGazette