Mohamad Taufiq Ismail

KUALA LUMPUR – Ketua Cabang PKR Johor Bahru, Mohamad Taufiq Ismail hari ini menolak dakwaan yang dilontarkan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli menerusi podcast yang disiarkan, semalam.

Beliau berkata, tuduhan yang dibuat Rafizi itu bersifat peribadi dan tidak berasaskan fakta serta dilihat hanya mencetuskan persepsi negatif terhadap kepimpinan akar umbi yang dipilih secara sah dalam pemilihan parti bagi penggal 2025–2028.

Katanya, adalah dikesali apabila pemimpin kanan parti mengeluarkan kenyataan yang memperlekehkan usaha dan mandat yang telah diberi oleh anggota parti.

“Tindakan sedemikian tidak mencerminkan semangat demokrasi dan prinsip hormat-menghormati yang sepatutnya dijunjung,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas kenyataan Rafizi yang melabel beliau sebagai ‘budak yang kita tak pernah kenal’, Taufiq berkata, pengalaman beliau bersama parti bukanlah sesuatu yang baharu.

“Saya pernah memegang jawatan Ketua AMK Negeri Johor, Ketua AMK Cabang serta Setiausaha dan Setiausaha Pengelola Cabang dan turut terlibat secara langsung dalam beberapa siri pilihan raya umum.

“Menyertai perjuangan parti bukan untuk populariti, tetapi kerana prinsip dan semangat reformasi.

Pemilihan yang dibuat anggota akar umbi adalah bukti kepercayaan terhadap usaha selama ini,” ujarnya.

Taufiq turut menafikan dakwaan tidak mempunyai pekerjaan tetap serta tidak memiliki rekod sumbangan dalam parti.

“Bekerja tetap sebagai mekanik automotif di syarikat milik keluarga sejak lapan tahun lalu. Segala gerak kerja parti banyak digerakkan melalui NGO dan inisiatif sendiri tanpa bergantung kepada pusat khidmat wakil rakyat,” katanya.

Sementara itu, mengulas dakwaan berhubung ‘kartel baharu’, beliau menyifatkan kenyataan tersebut sebagai percubaan membina jurang antara kelompok elit dan aktivis akar umbi.

“Parti ini bukan milik kelompok tertentu semata-mata. Ia dibina oleh rakyat biasa yang berkorban tenaga dan masa untuk memastikan semangat reformasi terus hidup,” tambahnya.

Mengenai keputusan pemilihan Cabang Johor Bahru, Taufiq berkata, pasukannya memenangi jawatan Ketua, Timbalan, Naib serta lima Ahli Jawatankuasa Cabang secara sah.

Beliau turut mendedahkan bahawa semasa proses audit dan kiraan semula undi yang berlangsung pada 2 Mei lalu di ibu pejabat PKR, calon lawan bertindak meninggalkan mesyuarat sebelum ia tamat.

“Keputusan audit telah mengesahkan keabsahan keputusan, dan pihak parti sendiri melantik auditor profesional bagi memastikan ketelusan.

“Tindakan meninggalkan mesyuarat tanpa menunggu proses selesai tidak membantu memperkukuh perpaduan,” katanya.

Taufiq turut menyeru semua pimpinan agar menghentikan sebarang bentuk penghinaan terbuka dan kembali memberi tumpuan kepada agenda memperkukuh parti serta memperjuangkan nasib rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here