Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan perasmiaan pada Majlis Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-79 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 11 MEI 2025.

KUALA LUMPUR – UMNO melahirkan rasa kesal kerana keputusannya membentuk Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) masih menjadi bahan tohmahan hingga meninggalkan persepsi buruk dalam kalangan rakyat.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ada pihak yang mempertikai keikhlasan UMNO, bahkan menghasut rakyat dengan naratif bahawa parti itu kini tunduk kepada DAP.

“Hakikatnya, ini bukan persekongkolan eksklusif. Ini adalah keputusan kenegaraan.

“Kerajaan Perpaduan hari ini dibentuk oleh 18 parti politik meliputi Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), GPS, GRS, Warisan dan lain-lain.

“Ia adalah kerjasama lintas sempadan demi menjamin kestabilan,” katanya berucap pada Sambutan Ulang Tahun ke-79 UMNO di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.

Ahmad Zahid selaku Timbalan Perdana Menteri kesal dengan sikap pemimpin parti politik yang ghairah meniupkan sentimen agama dan perkauman.

“Ingatlah merekalah (Pas) juga pernah bergandingan dengan DAP dalam Barisan Alternatif, juga Pakatan Rakyat, hampir sedekad lamanya.

“Mereka jugalah yang membentuk kerajaan bersama DAP demi menjatuhkan kita pada PRU 2018, malah sanggup melanggar prinsip dengan menggunakan logo Keadilan,” katanya.

Selain itu, katanya, UMNO tidak pernah membenarkan ahlinya bersolat di hadapan pejabat DAP dan tidak pernah menobatkan mana-mana pemimpin DAP setinggi maqam Khalifah Umar Abdul Aziz.

“Lebih ironi, ketika UMNO bekerjasama dengan MCA dan MIC, kita juga pernah dikafirkan.

“Hari ini, mereka meniru model sama, tetapi berselindung di sebalik retorik agama.

“Inilah hipokrasi politik yang sebahagian daripada kita mula termakan,” katanya.

Ahmad Zahid mengingatkan akar umbi UMNO agar tidak bersengketa sesama sendiri, apatah lagi terbuai dalam jerat persepsi dan sentimen yang hanya melemahkan parti.

“Mungkin sudut pandang kita berbeza, tetapi bergeraklah senada, kerana di situlah kunci untuk mengembalikan sokongan rakyat semula,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here