Zhi Li dan San San (depan tengah) bersama pelanggan yang menuntut penjelasan dalam sidang akhbar di Pejabat MCA Negeri Johor di Danga Bay, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Lebih 1,000 pelanggan sebuah pusat kesihatan dan kecantikan (spa) mengalami kerugian RM500,000 selepas menutup operasi secara tiba-tiba dan menghilangkan diri tanpa sebarang notis.

Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam Pemuda MCA, Heng Zhi Li berkata, tindakan pusat kesihatan dan kecantikan yang mempunyai 28 cawangan di lima negeri termasuk Johor itu menyebabkan pelanggan mereka menuntut penjelasan.

Jelasnya, ini kerana pelanggan terbabit yang sudah membuat pembayaran penuh bagi pakej-pakej rawatan yang dipilih gagal menerima perkhidmatan tersebut.

Beliau yang juga Ketua Pemuda MCA Johor berkata, setakat ini pihaknya menerima 54 laporan polis di negeri ini yang membabitkan tindakan pusat berkenaan.

“Ada pelanggan yang menandatangani pakej berjumlah antara RM2,400 hingga RM10,000 dengan bayaran bulanan antara RM288 hingga RM388.

“Ada yang sudah membuat pembayaran penuh ketika menandatangani pakej. Mereka membuat pembayaran menggunakan kad kredit dan sebagainya.

“Mereka tertarik dengan perkhidmatan ditawarkan kerana pakej dijanjikan tidak mempunyai tarikh luput dan boleh dikongsi dengan pengguna lain,” ketika dalam sidang akhbar di Pejabat MCA Negeri Johor di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Majlis Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) Zon Johor Jaya, Chan San San.

Menurut Zhi Li, hasil semakan, syarikat spa berkenaan telah membatalkan pendaftaran pada 30 April lalu dan pada awal bulan ini, mereka ada memuat naik video dalam Facebook menyatakan tidak melarikan diri dan meminta semua pengadu bersabar.

Katanya, pihak pengusaha memberi alasan mempunyai masalah aliran kewangan dan kekurangan pekerja.

“Bagaimanapun, selepas itu, usaha menghubungi pengusaha pusat berkenaan gagal, malah semua cawangan di Johor, Melaka, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Selangor ditutup sepenuhnya,” jelasnya.

Menurut Zhi Li, sidang media yang diadakan serentak di Segamat itu juga bertujuan menggesa menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) membantu dan mengambil tindakan sewajarnya.

“Tindakan syarikat itu menyebabkan ramai pelanggan ditinggalkan tidak menentu. Kami sudah meminta pelanggan yang menjadi mangsa untuk terus membuat laporan polis.

“Buat masa ini kita berharap pihak pengusaha yang dipercayai warga tempatan berasal dari Johor tampil dan menghubungi semua pengadu bagi mencari jalan penyelesaian.

“Bagaimanapun, jika masih tidak mendapat penjelasan dari pihak syarikat, kami akan membantu pengadu bagi menfailkan tuntutan di mahkamah,” katanya.- MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here