Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang, Noor Azleen Ambros menyampaikan ucapan perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto UMNO ONLINE, 10 JUN 2023.

JOHOR BAHRU – Parti Amanah Negara (Amanah) Johor disifatkan sebagai terlampau gelojoh dan lapar kuasa berhubung tuntutan jumlah kerusi yang akan ditanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros berkata, Amanah Johor berbuat bising umpama tin kosong seolah-olah mereka paling banyak kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri ini.

“Walhal rakan komponen mereka yang lain iaitu DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dilihat kekal tenang tanpa sebarang tuntutan merapu mahupun kenyataan melulu.

“Nampak jelas, yang paling berasa tidak selamat adalah parti Amanah yang mungkin hanya diberi peluang untuk bertanding satu kerusi di DUN Johor,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Kelmarin Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Johor, Dr Zuhan Zain dilaporkan berkata, Pakatan Harapan (PH) Johor sedia bertanding secara solo tanpa perlu kerjasama dengan mana-mana gabungan politik pada PRN nanti.

Dr. Zuhan yang juga Ketua Amanah Kawasan Kluang berkata, PH Johor boleh bertanding di semua kerusi di Johor kerana melihat kemungkinan tersebut ada.

Mengulas lanjut, Noor Azleen berkata, kenyataan Dr Zuhan itu amat memualkan dan percaya tidak mewakili pendirian serta pandangan sebenar PH Pusat mahupun negeri sebagai sebuah gabungan politik.

Katanya, pucuk pimpinan PH lebih berhak membuat keputusan serta menentukan keputusan dasar dan strategi PH untuk berdepan dalam mana-mana pilihan raya.

Justeru, Noor Azleen menasihati pimpinan Amanah di negeri ini agar jangan lebih sudu daripada kuah dan merujuk pimpinan tertinggi PH terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan.

“Ini kerana akhirnya, rundingan pembahagian kerusi akan dibuat antara gabungan parti-parti politik antara Barisan Nasional (BN) dan PH, dan bukan dengan setiap parti berpolitik secara individu. Jadi, berundinglah secara koalisi dan jangan melulu.

“Ukurlah baju di badan sendiri. Amanah Johor berhak mempertahankan satu kerusi DUN di Johor sahaja.

“Janganlah nampak sangat Amanah di Johor ini terlampau gelojoh dan lapar kuasa, sehinggakan kail panjang sejengkal, dalam lautan hendak diduga,” katanya.

Menurutnya, ketika negara dan negeri ini sedang berdepan dengan situasi ekonomi global yang tidak menentu lantaran pengumuman tarif oleh pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS).

Usaha dan juga fokus semua pihak katanya, harus tertumpu kepada usaha bagaimana menggembeleng idea, usaha dan tenaga bagi menangani kesan buruk akibat ketentuan cabaran ekonomi baharu ini.

“Tatkala Johor sedang mengorak langkah dan menyediakan landasan kukuh untuk memperkukuh kedudukan ekonomi negerinya, kenyataan yang boleh memberi gambaran berbeza mengenai kestabilan politik di negeri ini hanyalah mengundang musibah.

“Ini juga boleh dianggap sebagai satu cubaan sabotaj kepada segala usaha baik dan kerja keras yang sedang dilakukan oleh pimpinan Kerajaan Negeri Johor,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here