WASHINGTON – Amerika Syarikat dan China pada Isnin bersetuju untuk mengurangkan tarif balas secara drastik selama 90 hari.
Pegumuman itu sekaligus meredakan perang perdagangan yang telah mengoyahkan pasaran kewangan dan menimbulkan kebimbangan terhadap kemelesetan ekonomi global.
Selepas rundingan pertama sejak Presiden AS, Donald Trump, melancarkan perang perdagangan, dua ekonomi terbesar dunia itu bersetuju dalam satu kenyataan bersama untuk menurunkan tarif tiga angka mereka kepada dua angka dan meneruskan rundingan.
Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent, menyifatkan rundingan hujung minggu dengan Naib Perdana Menteri China, He Lifeng, dan wakil perdagangan antarabangsa, Li Chenggang, sebagai “produktif” dan “kukuh”.
“Kedua-dua pihak menunjukkan rasa hormat yang tinggi,” kata Bessent kepada pemberita.
Presiden Trump sebelum ini telah mengenakan duti sebanyak 145 peratus ke atas import dari China bulan lalu — berbanding 10 peratus ke atas negara lain dalam serangan tarif global yang beliau lancarkan.
Beijing membalas dengan mengenakan duti sebanyak 125 peratus ke atas barangan AS.
Bessent berkata kedua-dua pihak bersetuju untuk mengurangkan tarif tersebut sebanyak 115 mata peratusan, menjadikan tarif AS kepada 30 peratus dan tarif China kepada 10 peratus.
Dalam kenyataan bersama itu, kedua-dua pihak bersetuju untuk “menubuhkan satu mekanisme bagi meneruskan perbincangan tentang hubungan ekonomi dan perdagangan”.
China menyambut baik “kemajuan besar” yang dicapai dalam rundingan tersebut.
“Tindakan ini… adalah demi kepentingan kedua-dua negara dan kepentingan bersama dunia,” kata kementerian perdagangan China, sambil menambah bahawa mereka berharap Washington akan terus bekerjasama dengan China “untuk membetulkan amalan salah menaikkan tarif secara unilateral”.
Nilai dolar AS, yang jatuh selepas Trump melancarkan serangan tarifnya pada April, melonjak semula susulan pengumuman tersebut, manakala niaga hadapan saham AS meningkat dengan ketara. Pasaran Eropah dan Asia turut mencatatkan kenaikan.
Pertikaian perdagangan antara Washington dan Beijing telah menggoncang pasaran kewangan, menimbulkan kebimbangan bahawa tarif tersebut akan mencetuskan semula inflasi dan menyebabkan kemelesetan ekonomi global.
– ‘Petanda baik untuk masa depan’ –
Ketua Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), Ngozi Okonjo-Iweala, memuji rundingan tersebut pada hari Ahad sebagai “langkah maju yang penting” dan “petanda baik untuk masa depan”.
“Di tengah-tengah ketegangan global semasa, kemajuan ini penting bukan sahaja untuk AS dan China tetapi juga untuk seluruh dunia, termasuk ekonomi yang paling terdedah,” tambah beliau.
Menjelang pertemuan di kediaman rasmi Duta Switzerland ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Geneva yang dijalankan secara tertutup, Trump telah memberi isyarat bahawa beliau mungkin menurunkan tarif, dengan mencadangkan di media sosial bahawa “Tarif 80% ke atas China nampaknya wajar!”
Namun begitu, Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Karoline Leavitt, kemudiannya menjelaskan bahawa Amerika Syarikat tidak akan menurunkan tarif secara unilateral, dan menyatakan bahawa China juga perlu membuat konsesi.
Pertemuan di Geneva itu diadakan beberapa hari selepas Trump mengumumkan perjanjian perdagangan dengan Britain — yang pertama dengan mana-mana negara sejak beliau melancarkan serangan tarif global.
Perjanjian lima muka surat yang tidak mengikat itu memberi keyakinan kepada pelabur yang bimbang bahawa Washington bersedia untuk berunding mengenai pelepasan tarif secara sektoral daripada duti-duti terkini.
Namun Trump mengekalkan levi sebanyak 10 peratus ke atas kebanyakan barangan British, dan mengancam untuk mengekalkannya sebagai kadar asas ke atas kebanyakan negara lain. -AFP