Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki hadir ke Persidangan Anti Rasuah Asia Tenggara di Pusat Konveksyen Antarabangsa Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 29 APRIL 2025

KUALA LUMPUR – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki memberikan jaminan akan terus membanteras segala bentuk rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa demi mewujudkan sebuah negara yang makmur.

Dalam satu kenyataan, Azam menyifatkan pelantikan semula beliau sebagai satu penghormatan besar, bukan hanya kepada dirinya, malah kepada seluruh warga kerja SPRM.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan dan sokongan berterusan terhadap kepimpinannya dalam menerajui agensi antirasuah negara itu.

“Dengan penuh kesedaran akan tanggungjawab dan amanah yang diberikan, saya akan terus mengetuai usaha SPRM untuk membanteras segala bentuk rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

“SPRM juga komited untuk meningkatkan skor Indeks Persepsi Rasuah (CPI) negara agar Malaysia terus dihormati dan diyakini di peringkat antarabangsa,” katanya.

Pelantikan semula Azam sebelum ini mencetuskan pelbagai reaksi, termasuk daripada pemimpin politik dan masyarakat sivil yang menuntut ketelusan serta reformasi institusi penguatkuasaan rasuah.

Antara yang paling lantang ialah anak sulung Perdana Menteri, Nurul Izzah Anwar, yang menyuarakan ketidakpuasan terhadap pelantikan Azam sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk penggal ketiga.

Beliau menyifatkan ia sebagai satu keputusan yang “tidak dialu-alukan” dan hanya akan menyukarkan usaha membawa perubahan struktur serta budaya dalam institusi penting negara.

Dalam kenyataan sama, Azam turut merakamkan setinggi-tinggi junjung kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim atas perkenan memperbaharui pelantikannya.

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjunjung kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang telah memperkenankan pelantikan semula Ketua Pesuruhjaya untuk tempoh satu tahun berkuat kuasa mulai 13 Mei 2025 hingga 12 Mei 2026,” katanya lagi.

Pelantikan semula ini juga memberi ruang kepada SPRM untuk memperkasa lagi strategi pencegahan dan pendidikan antirasuah, selaras dengan aspirasi nasional membina tadbir urus yang baik.

Dalam tempoh lanjutan ini, Azam dijangka memberi tumpuan kepada pembaharuan sistemik dan pemerkasaan penyiasatan berprofil tinggi. — MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here