KUALA LUMPUR – Seorang ejen hartanah sambilan yang dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu ditemukan meninggal dunia dipercayai akibat lemas di Tasik Astana Alam, Bandar Puncak Alam, Sungai Buloh, semalam.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan mayat lelaki itu yang terapung di tepi tasik berkenaan pada pukul 10.45 pagi.
Siasatan awal mendapati isteri mangsa memaklumkan bahawa suaminya yang berusia 31 tahun itu telah keluar dari rumah dalam keadaan tidak terurus sekitar jam 5.00 pagi, kelmarin.
“Wanita itu kemudian membuat laporan polis mengenai kehilangan suaminya pada pukul 12.20 tengah malam hari yang sama.
“Susulan penemuan tersebut, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh (HSB) bagi tujuan bedah siasat.
“Pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian tidak menemui sebarang unsur jenayah,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Menurut Mohd Hafiz berkata, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Mejar Fuzi Kamazan di talian 012-3818167 atau hadir ke balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette