MELAKA – Ibu bapa kepada bayi lelaki berusia dua bulan yang kritikal disyaki akibat didera pasangan itu di rumah mereka minggu lalu akan didakwa di Mahkamah Majistret Alor Gajah, di sini, esok.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, pendakwaan terhadap pasangan berusia 22 tahun itu akan dibuat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang menggariskan kesalahan membabitkan penganiayaan, pengabaian dan pembuangan atau pendedahan kanak-kanak.
“Dalam kes ini, perbuatan disyaki adalah mendedahkan bayi itu dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal dan emosi.
“Sabit kesalahan, mana-mana individu, ibu bapa, atau penjaga boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM50,000 atau kedua-duanya,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Pada 7 Mei lalu, media melaporkan Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka membenarkan ibu bapa bayi berkenaan direman tujuh hari sehingga esok selepas anak tunggal pasangan itu mengalami pendarahan dalam kepala, luka dan lebam disyaki didera mereka yang tidak bekerja.
Kejadian terbongkar selepas ibu mangsa berusia 22 tahun menghantar anaknya itu ke Hospital Alor Gajah pada malam 5 Mei lalu dalam keadaan tidak sedarkan diri kononnya diserang sawan.
Mangsa bagaimanapun terpaksa dirujuk ke Hospital Melaka dan hasil imbasan CT yang dilakukan doktor pakar mendapati kesan lebam, luka di badan dan leher serta pendarahan lama dan baru dalam kepala bayi terbabit.
Doktor kemudian membuat laporan polis kerana mengesyaki mangsa didera sebelum polis menahan kedua-dua suspek termasuk suaminya di Hospital Melaka, 6 Mei lalu. – MalaysiaGazette