Tun Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Pendengaran prosiding komital terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung isu`kutty’ adalah antara kes berprofil tinggi yang dijadual didengar di Mahkamah Tinggi minggu ini.

Ketika pendengaran pada 16 April lalu, rakaman video sidang media di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur yang memaparkan bekas Perdana Menteri menunjukkan beberapa salinan dokumen termasuk kad pengenalannya, ditayangkan di mahkamah.

Sidang media itu direkodkan oleh dua portal berita pada 5 Disember tahun lalu selepas Tun Dr. Mahathir memberi keterangan dalam perbicaraan kes saman terhadap Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap beliau berhubung isu ‘kutty’.

Selepas kedua-dua video itu ditayangkan, Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong menetapkan Rabu ini agar kedua-dua pihak mengemas kini mahkamah mengenai tindakan selanjutnya.

“Video-video ini tiada kepastian kesahihannya. Dengan teknologi yang ada seperti kecerdasan buatan (Al), kita perlu ada pengesahan dari pakar.

“Prosiding menghina mahkamah merupakan satu tuduhan yang serius,” ujar beliau.

Pada 7 Januari lalu, Ahmad Zahid mendapat kebenaran untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap bekas Perdana Menteri berhubung sidang media yang diadakannya.

Selain itu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO dijangka memberi keterangan selaku defendan dalam kes saman itu.

Berdasarkan pernyataan tuntutan difailkan pada 20 Julai 2022, Tun Dr Mahathir mendakwa Ahmad Zahid mengeluarkan kenyataan memfitnah semasa mesyuarat UMNO Bahagian di Kelana Jaya pada 30 Julai 2017.

Kenyataan itu diterbitkan semula di YouTube Astro AWANI dan beberapa portal berita dalam talian, yang boleh diakses oleh pengguna Internet tanpa sebarang sekatan.

Bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony tiba untuk mendengar keputusan rayuan akhir terhadap sabitan dan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 kerana memalsukan dokumen, di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 04 MAC 2025 (GAMBAR FAIL).

Selain kes berkenaan, esok ditetapkan pendengaran bantahan awal pihak pendakwaan terhadap permohonan Datuk Peter Anthony berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak rayuan akhirnya.

Bantahan awal itu dijadual didengar di Mahkamah Rayuan, Putrajaya.

Peter memohon kebenaran menyemak keputusan Mahkamah Rayuan terdahulu yang menolak rayuan akhirnya terhadap sabitan dan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 kerana kesalahan pemalsuan dokumen.

Dalam notis bantahan awal yang diperoleh media, pihak pendakwaan menyatakan, permohonan semakan itu bersifat pramatang (premature) kerana alasan penghakiman bertulis Mahkamah Rayuan belum lagi lengkap dan belum dikemukakan kepada semua pihak.

“Pemohon tidak dilarang untuk membuat permohonan ini, tetapi ia sewajarnya dibuat selepas alasan penghakiman bertulis yang lengkap dari panel rayuan dikemukakan kepada semua pihak,” ujar pihak pendakwaan.

Peter yang sedang dipenjarakan kerana kesalahan pemalsuan dokumen, memohon kebenaran Mahkamah Rayuan mengikut Kaedah 105 Kaedah-kaedah Mahkamah Rayuan 1994, agar Mahkamah Rayuan menyemak keputusan panel berlainan yang menolak rayuannya.

Dalam notis usul permohonan kebenaran semakannya, Peter menyatakan, pihaknya mempunyai alasan yang kukuh agar satu panel berlainan menyemak keputusan Mahkamah Rayuan terdahulu yang memutuskan demikian pada pada 4 Mac lalu.

Peter, 54, didapati bersalah memalsukan dokumen berkaitan kontrak penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 2014. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here