Onn Hafiz diberi penerangan semasa melawat projek pembinaan pejabat operasi JTDC di Medini Iskandar, Iskandar Puteri hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Johor Talent Development Council (JTDC) sedang melaksanakan transformasi institusi pendidikan di Johor yang melibatkan tujuh institut pengajian tinggi (IPT) terpilih.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, usaha berkenaan menyasarkan seramai 3,000 graduan berkualiti berjaya dilahirkan setiap tahun.

“Ini dilakukan melalui penaiktarafan silibus, fasiliti dan tenaga pengajar,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, selain itu JTDC menggariskan beberapa strategi utama bagi melahirkan bakat tempatan berkemahiran tinggi selari dengan keperluan pelabur dan industri di negeri ini.

Sasaran utama JTDC katanya, adalah untuk menyediakan 20,000 peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dan sudah dilaksanakan secara berfasa bermula tahun ini.

Beliau berkata, antara strategi utama JTDC adalah menjalin kerjasama langsung antara pelabur, syarikat, enam universiti serta 15 pusat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terpilih di negeri ini.

Ujarnya, melalui kerjasama itu seramai 10,000 graduan akademik dan TVET akan digerakkan melalui platform seperti Pejabat JTDC dan Karnival Kerjaya Premium setiap tahun.

Terdahulu, Onn Hafiz turun padang meninjau perkembangan projek pembinaan pejabat operasi JTDC di Medini Iskandar, di sini, hari ini.

Menurut Onn Hafiz, JTDC turut memperkenalkan pendekatan ‘direct intervention’ menerusi Dana Latihan dan Penempatan Kerja bagi membantu anak muda yang memerlukan sokongan.

Jelasnya, inisiatif ini menyasarkan 5,000 pelatih pada tahun ini melalui geran latihan, subsidi, karnival kerjaya serta galakan penggunaan portal kerjaya JTDC.

“JTDC akan terus menjadi pemacu utama dalam menjadikan Johor sebuah negeri yang melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, dinamik dan bersedia menyambut gelombang pelaburan masa hadapan.

“Semoga segala inisiatif ini akan memberi manfaat besar kepada Orang Muda Johor yang ingin membina kerjaya berkualiti,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here