KUALA LUMPUR – Peranan jururawat dalam sistem kesihatan negara tidak pernah dinafikan, malah mereka menjadi tunjang utama dalam memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.
Di sebalik uniform serba putih, tersembunyi ketabahan, semangat juang dan dedikasi tinggi dalam melayani pesakit saban hari tanpa mengharapkan balasan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menyifatkan jururawat bukan sekadar petugas barisan hadapan ketika krisis kesihatan, tetapi juga merupakan tonggak penting dalam rawatan harian, proses pemulihan pesakit serta kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh.
“Saya tahu, di sebalik senyuman yang kalian berikan kepada pesakit ada penat lelah yang tersimpan rapi. Di sebalik seragam putih itu, ada insan yang kuat, sabar dan sentiasa menghulurkan bantuan tanpa mengharapkan sebarang balasan.
“Tanpa kalian, tiada erti penjagaan, tiada erti pemulihan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook sempena Hari Jururawat Sedunia, hari ini.
Menghayati pengorbanan dan peranan besar itu, Dzulkefly menyifatkan jururawat sebagai denyut nadi kepada sistem kesihatan negara serta mengajak seluruh rakyat agar terus menghargai sumbangan mereka.
Tambah beliau, tema sambutan tahun ini, Our Nurses. Our Future. Caring for Nurses Strengthens Economies bukan hanya slogan kosong, sebaliknya peringatan jelas bahawa menjaga kebajikan jururawat bermakna menjaga masa depan negara dan rakyat.
Sementara itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan turut merakamkan penghargaan kepada jururawat atas pengorbanan dan kesetiaan mereka dalam memberikan rawatan secara berterusan kepada rakyat.
“Jururawat adalah tulang belakang sektor kesihatan. Mereka menjaga yang sakit, memberi semangat kepada yang lemah dan sentiasa hadir dalam detik paling mencabar,” kata hantaran itu.
KKM turut menyeru agar jururawat terus diberikan pengiktirafan sewajarnya, memandangkan sumbangan mereka bukan sahaja penting kepada sistem kesihatan yang mampan.
Malah turut menyumbang kepada kestabilan dan pertumbuhan ekonomi negara menerusi sistem perkhidmatan yang kukuh dan menyeluruh. – MalaysiaGazette