KUALA LUMPUR – Pentadbiran Kerajaan Perpaduan kini semakin huru-hara apabila keputusan penting dibuat tanpa hala tuju yang jelas serta bertentangan dengan prinsip tanggungjawab kolektif Kabinet, kata Ketua Penerangan Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari.
Ahmad Fadhli berkata demikian merujuk kepada keputusan melanjutkan kontrak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki untuk penggal ketiga, yang menurutnya mencerminkan kekeliruan dan ketidaksepakatan dalam kalangan pimpinan utama kerajaan.
“Rafizi tentu faham konsep ‘collective responsibility’. Beliau Timbalan Presiden PKR dan seorang Menteri Kabinet. Nurul Izzah pula Naib Presiden parti yang mengetuai kerajaan. Tapi kedua-duanya kata tak setuju.
“Jadi siapa sebenarnya yang luluskan penyambungan kontrak Azam Baki?” soalnya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Nurul Izzah Anwar yang menyuarakan ketidakpuasan terhadap pelantikan Azam sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk penggal ketiga.
Beliau menyifatkan ia sebagai satu keputusan yang “tidak dialu-alukan” dan hanya akan menyukarkan usaha membawa perubahan struktur serta budaya dalam institusi penting negara.
Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli turut menyatakan beliau tidak bersetuju dengan pelanjutan tersebut.
Bagaimanapun, Rafizi berkata, beliau tidak boleh menyuarakan ketidaksetujuan secara terbuka kerana beliau adalah seorang menteri Kabinet.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu turut menyatakan kebimbangannya terhadap kemungkinan wujud keputusan-keputusan lain yang juga dibuat tanpa persetujuan bersama, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai ketelusan dan keutuhan struktur pentadbiran kerajaan.
“Itu baru satu keputusan. Bagaimana dengan keputusan-keputusan penting lain yang mungkin juga dibuat tanpa konsensus? Dan nanti bila tindakan itu terbukti merugikan negara, adakah masing-masing akan lepas tangan dan berkata ‘ooo dulu pun saya tak setuju’?” katanya lagi.
Menurut Ahmad Fadhli, senario ini adalah manifestasi kepada kegagalan kerajaan melaksanakan reformasi secara menyeluruh, di mana slogan reformasi hanya tinggal retorik dan tidak diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan.
“Negara sudah jadi haru-biru, angkara reformasi tempang,” katanya.- MalaysiaGazette