JOHOR BAHRU – Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh diingatkan supaya tidak berlagak hero jika ingin melihat Kerajaan Perpaduan bertahan dan kukuh pada masa depan.
Exco Pemuda Amanah Nasional, Fadhli Umar Aminolhuda menasihatkan Dr Akmal supaya berhati-hati sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan dalam usaha menjaga hubungan.
“Lagak ‘hero syndrome’ Dr Akmal ini perlu dikurangkan jika kita ingin lihat Kerajaan Perpaduan bertahan dan kukuh untuk masa mendatang. Bak peribahasa ada menyebut menganga dahulu baru meludah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, DAP Melaka menegaskan bahawa cadangan pembahagian kerusi 14-14 antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) untuk PRN akan datang hanyalah usul yang dibincangkan serta diluluskan pada peringkat cawangan sahaja dan bukan di peringkat negeri.
Setiausaha Publisiti DAP Melaka, Kerk Chee Yee berkata, tiada sebarang rundingan rasmi mengenai pembahagian kerusi dijalankan setakat ini kerana perkara tersebut biasanya diuruskan oleh kepimpinan tertinggi parti melalui perbincangan antara parti komponen.
Susulan itu Dr Akmal menolak cadangan agihan kerusi 14-14 dalam kerajaan campuran negeri Melaka sebelum Fadhli Umar pada Sabtu lalu menyifatkan penolakan tersebut sebagai angkuh dan tidak sensitif.
Tindakan itu juga katanya, tidak mencerminkan semangat muafakat dalam Kerajaan Perpaduan dan formula 14-14 adalah cadangan adil yang mencerminkan semangat setiakawan serta kesamarataan di Melaka.
Dr Akmal kemudian dalam Facebook miliknya menulis:” Bila nak pertahankan kerusi sendiri yang menang dikatakan angkuh, tetapi bila nak ambil kerusi orang lain, semangat perpaduan katanya.”
Mengulas lanjut, Fadhli Umar berkata, respon Dr Akmal terhadap kenyataan beliau dilihat seperti beliau cuba ‘mengalihkan tiang gol’
“Saya kira kenyataan saya cukup jelas, kembali mendukung semangat muafakat. Dr Akmal mungkin perlu diingatkan berkali-kali bahawa ramuan untuk memperkukuhkan kerajaan perpaduan ini tidak lain tidak bukan adalah mengangkat semangat setiakawan.
“Dr Akmal perlu sedar juga, dalam siri Pilihan Raya Umum ke-15 tidak satu Parlimen di Melaka dimenangi oleh BN.
“Dr Akmal perlu tahu iklim politik juga sudah berubah sejak dari PRN Melaka 2022 yang lepas. BN dan PH masing masing memerlukan antara satu sama lain.
Katanya, bagi pihak PH cukup jelas penerimaan terhadap BN dan situasi itu boleh dilihat dalam pentadbiran di Selangor dan Pulau Pinang.
“Lihat sahaja penyerahan kerusi-kerusi strategik, melantik Exco di negeri winnable PH seperti Selangor dan Pulau Pinang. Itu bukti tanda keikhlasan kami bersama sama BN,” katanya.- MalaysiaGazette
Alaaaa kerajaan Perpaduan pun bukan boleh bertahan kalau UMNO keluar…lainlah kalau kerajaan PH blh tubuh kerajaan tanpa UMNO…