Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan agar Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA 2025) memberi penekanan kepada pemerkasaan syarikat tempatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), agar dapat menembusi pasaran antarabangsa melalui inovasi.

Menurut Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, LIMA 2025 bukan sekadar pameran aset dan teknologi, tetapi medan strategik bagi membina kerjasama antara kerajaan, industri dan institusi pendidikan.

Malah ia juga dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dengan menarik pelaburan langsung asing serta merancakkan sektor pelancongan dan perdagangan luar negara.

“Pameran dwitahunan bertemakan Innovate Today, Thrive Tomorrow itu mencerminkan komitmen Malaysia untuk terus memperkukuh kedudukan negara sebagai hab teknologi maritim dan aeroangkasa di peringkat serantau dan global.

“LIMA akan menghimpunkan pemain utama dalam sektor pertahanan dan penerbangan komersial, termasuk dalam bidang Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik Pulih (MRO), Internet Benda (IoT), satelit dan teknologi angkasa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung dalam laman Facebook rasmi Anwar Ibrahim dan PMO Malaysia, hari ini.

Menurut Tunku Nashrul, Perdana Menteri akah menghadiri LIMA 2025 sejurus pulang daripada lawatan rasmi beliau ke Rusia.

“Beliau mendoakan agar segala urusan persiapan berjalan lancar dan mengalu-alukan kehadiran pempamer, pelabur serta pelawat dari dalam dan luar negara bagi menjayakan LIMA 2025,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here