Penduduk kampung-tekun mengikuti-pengisian program Foto UM

Di era serba moden dan berdaya saing ini, penguasaan ilmu agama perlu seiring dengan kemahiran komunikasi dan penguasaan bahasa, khususnya Bahasa Inggeris. Justeru, inisiatif berterusan untuk memperkasa komuniti luar bandar bukan sahaja penting, malah wajar diperluaskan.

Program Mahabbah Care4Ummah (PMC) 6.0 yang berlangsung dari 20 hingga 27 Februari 2025 di Pulau Sebatik, Tawau dan Pulau Sangaban, Semporna, Sabah membuktikan bahawa usaha kecil sebenarnya mampu memberi sebuah makna yang besar.

Dianjurkan oleh Lajnah Pengurusan Muamalat, Jabatan Syariah dan Pengurusan, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM) dengan kerjasama NGO Care4Asnaf dan Pusat Pungutan Zakat (PPZ) MAIWP, program ini disertai seramai 26 mahasiswa APIUM bersama lima wakil Care4Asnaf.

“Matlamat utama PMC 6.0 ini bukan sekadar untuk menyampaikan bantuan fizikal atau menjalankan aktiviti sukarelawan, tetapi lebih kepada menyemai nilai kasih sayang, memperkukuh kesedaran agama, dan membina jalinan ukhuwah antara masyarakat pedalaman dan sukarelawan.”

“Kami ingin memastikan setiap lapisan masyarakat, terutamanya di kawasan pedalaman seperti Pulau Sebatik dan Pulau Sangaban, dapat merasai kehadiran dan perhatian dari saudara seagama mereka yang berada jauh di Semenanjung.

Selain itu, kami mahu mahasiswa yang terlibat dapat menyelami realiti kehidupan masyarakat luar bandar yang penuh cabaran serta menanam sifat syukur dalam diri mereka,” ujar Muhammad Luqman Mohd Fadzli, mahasiswa Jabatan Syariah dan Pengurusan APIUM yang juga merupakan pengarah program.

Membina jaringan ukhuwah dan pendidikan asas agama

Di Pulau Sebatik, lebih 200 penduduk dari lapan kampung sekitar hadir menyertai aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan. Antaranya, majlis perasmian Surau Al-Aziziya yang dirasmikan oleh ADUN Sebatik, Datuk Hassan A Ghani Pg Amir, serta bengkel wuduk dan solat yang diikuti agihan telekung kepada peserta wanita.

Program seperti Little Qari & Tahsin Fatihah pula memupuk minat anak-anak kecil terhadap Al-Quran, di samping memperkemas bacaan surah Al-Fatihah. Halaqah bertajuk Islam dan Kasih Sayang yang disampaikan oleh As Syarif Muhammad Siddiq al-Hasani al-Maliki dan Dr. Asmuliadi Lubis membuka ruang diskusi tentang nilai kasih sayang dalam masyarakat Islam.

Selain itu, peserta turut didedahkan dengan pengurusan jenazah melalui bengkel praktikal, serta aktiviti sukaneka dan explorace yang menyemarakkan ukhuwah antara penduduk dan sukarelawan.

Menyantuni komuniti pedalaman

Di Pulau Sangaban, Back to School Project berjaya menyerahkan kelengkapan sekolah kepada 21 pelajar asnaf. Sementara itu, Clean Water Project menyalurkan tiga tangki air bagi membantu penduduk Pulau Nusa Tengah yang bergantung kepada air hujan. Program diteruskan dengan Kembara Kasih di Bumi Sangaban, menyampaikan sumbangan keperluan asas ke rumah-rumah pedalaman menaiki bot kecil.

Muhammad Luqman turut berkongsi pengalaman peribadinya sepanjang program berlangsung. “Antara momen yang paling menyentuh hati saya adalah ketika sesi agihan pek Ramadan di Pulau Sangaban. Ada seorang warga emas yang memeluk saya erat sambil mengucapkan terima kasih kerana sudi datang dan mengingati mereka. Wajah keletihan mereka akibat rutin seharian sebagai nelayan dan petani, jelas terpancar, namun sambutan mesra yang mereka berikan sangat luar biasa. Kita kadang-kadang lupa bahawa di sebalik keselesaan hidup kita di bandar, masih ramai saudara kita yang perlu berjalan kaki atau menaiki bot kecil semata-mata untuk mendapatkan bekalan asas,” katanya.

“Program ini mendidik kami tentang nilai syukur dan pentingnya berbakti kepada masyarakat walau di mana sekalipun. Ia membuka mata tentang realiti kehidupan masyarakat luar bandar yang serba kekurangan, tetapi tetap tabah dan penuh semangat,” katanya lagi.

Bagi Mohd Nawawai Reza Mohd Daud, wakil NGO Care4Asnaf merangkap Koordinator PMC 6.0, pengalaman tersebut turut meninggalkan kesan yang mendalam dalam dirinya. “Saya rasa program ini bukan sahaja membawa manfaat kepada penduduk kampung, tetapi juga kepada diri kami sendiri. Di sini saya belajar betapa pentingnya menghargai perkara kecil dalam hidup. Melihat anak-anak kampung teruja menerima kelengkapan sekolah baru dan betapa bersyukurnya mereka dengan pemberian yang mungkin biasa bagi kita, benar-benar menyentap hati saya. Ia membuatkan saya sedar bahawa kebahagiaan sebenar itu datang daripada memberi,” katanya.

Beliau turut berharap lebih ramai anak muda tampil menyertai program seumpama ini. “Ramai di antara kita yang terlalu selesa di zon sendiri. Sedangkan bila turun padang, kita dapat menyaksikan betapa luasnya ruang untuk membantu dan betapa ramainya yang mengharapkan kehadiran kita,” tambahnya lagi.

Secara keseluruhannya, PMC 6.0 berjaya membawa sinar dan harapan baharu kepada penduduk pedalaman di Pulau Sebatik dan Pulau Sangaban.

Lebih daripada sekadar bantuan barangan keperluan atau aktiviti keagamaan, program ini menjadi jambatan yang merapatkan jurang antara komuniti bandar dan masyarakat luar bandar.

Kehadiran sukarelawan bersama sumbangan ilmu, kasih sayang, dan perhatian telah menjadi cahaya yang menerangi kehidupan seharian mereka yang sebelum ini bergelut dengan keterbatasan kemudahan asas dan cabaran geografi.

Bagi para sukarelawan pula, pengalaman ini adalah sinar kesedaran bahawa hidup ini seharusnya dipenuhi dengan rasa syukur dan keprihatinan. Benarlah, apabila kita membawa cahaya kepada orang lain, tanpa sedar kita juga sedang menerangi hati sendiri. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here