Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini bagi mendapatkan perintah reman.

BUKIT MERTAJAM – Seorang nelayan direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes dera anak saudaranya berusia tiga tahun pada Jumaat lalu.

Perintah reman terhadap suspek berusia 34 tahun itu dikeluarkan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan bermula hari ini sehingga 18 Mei depan.

Ia bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan ke atas suspek mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Terdahulu, suspek yang memakai baju lokap berwarna oren tiba di mahkamah dengan diiringi polis pada jam 10 pagi.

MalaysiaGazette difahamkan, bapa mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian pada Jumaat lalu di Kepala Batas dekat sini susulan mendapati abang iparnya memukul mangsa menggunakan sebatang kayu kecil tanpa sebab munasabah.

Difahamkan, kejadian itu berlaku ketika pengadu yang juga seorang kelindan lori membuat panggilan video untuk bercakap dengan anak lelakinya susulan dia tinggal bersama bekas isterinya.

Selain itu, pemeriksaan doktor ke atas mangsa turut mengesahkan mempunyai kesan lebam pada anggota badan dipercayai akibat didera.

Susulan itu, bertindak atas laporan pihak polis menahan suspek kira-kira jam 12.10 tengah hari semalam, di tepi Jalan Bertam dekat sini.

Difahamkan, suspek dipercayai kerap memukul mangsa dengan alasan kononnya kanak-kanak itu sering menangis. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here