ISKANDAR PUTERI – Polis memberkas seorang pekerja bengkel selepas mencuri komponen kenderaan milik majikannya di kedai servis kenderaan di Taman Harmoni 2, Skudai, di sini, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, M Kumarasan berkata, pihaknya menerima laporan kejadian tersebut daripada pengurus bengkel tersebut iaitu seorang wanita tempatan berusia 31 tahun.
“Wanita melaporkan berlaku kecurian alat ganti kenderaan di bengkel tersebut dengan kerugian RM6,000.
“Bertindak atas maklumat pada pukul 11.25 malam Khamis, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri membuat tangkapan.
“Pekerja bengkel berkenaan iaitu seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun ditahan di kawasan Taman Universiti, Skudai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, menerusi tangkapan itu pihak polis merampas barang-barang seperti enam set rim pelbagai jenis dan warna dan 14 kotak absorber pelbagai jenama.
Semakan terhadap suspek katanya, mendapati mempunyai lima rekod jenayah kesalahan lampau, hasil ujian air kencing mendapatiya negatif dadah.
Menurutnya, suspek sedang ditahan selama tujuh hari bermula Jumaat lalu hingga Khamis ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 381 Kanun Keseksaan kerana mencuri harta milik majikan.- MalaysiaGazette