KUALA LUMPUR – Selain prosiding komital melibatkan Tun Dr. Mahathir Mohamad Rabu ini, terdapat tiga lagi kes berprofil tinggi akan didengar sepanjang minggu ini.
Di Putrajaya, Mahkamah Rayuan pada Khamis dijadual mendengar rayuan Datin Seri Rosmah Mansor bagi menggugurkan Hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan yang membicarakan kes rasuah berkaitan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion yang dihadapinya.
Mohamed Zaini merupakan hakim Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta terhadap isteri bekas Perdana Menteri.
Mahkamah Rayuan sebelum ini dimaklumkan, jika rayuan Rosmah untuk menggugurkan Mohamed Zaini dibenarkan, perkembangannya membawa kesan besar kerana kes itu akan dibicarakan semula di hadapan hakim lain.
Rosmah mengemukakan permohonan untuk menyingkirkan hakim berkenaan, dua hari sebelum keputusan diumumkan, atas alasan penghakiman kes itu didakwa bocor.
Pada prosiding 5 Mac lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan Rosmah menangguhkan rayuan itu kerana beliau tidak sihat dan menerima rawatan di sebuah hospital swasta, di sini.
Pada 1 September 2022, Hakim Mohamed Zaini mendapati Rosmah bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek solar hibrid dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta.
Mahkamah juga memerintahkan Rosmah dipenjara 30 tahun jika gagal membayar denda itu. Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan.
Rosmah didakwa atas satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd.

Sementara itu di ibu negara, satu lagi kes berprofil tinggi melibatkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng akan disambung di Mahkamah Sesyen juga pada Rabu ini.
Prosiding masih di peringkat keterangan saksi penting pendakwaan, Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli yang juga bekas Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB) iaitu syarikat yang dilantik melaksanakan projek mega terowong dasar laut Pulau Pinang.

Pada hari yang sama, Mahkamah Sesyen turut menetapkan sebutan kes Toh Puan Na’imah Abdul Khalid yang menghadapi pertuduhan gagal mengisytiharkan harta.
Isteri bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin didakwa gagal mematuhi notis agar mengisytiharkan hartanya termasuk Menara Ilham serta beberapa aset lain di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Perbicaraan kes yang ditetapkan pada 19 hingga 21 November ini dan 21 hingga 23 Januari serta 3 hingga 5 Februari 2026, dijadual didengar di hadapan Hakim Azura Alwi.
Pada 18 Februari lalu, hakim yang sama menolak permohonan Na’imah untuk merujuk persoalan undang-undang mengenai kesahihan pertuduhan gagal mengisytiharkan harta yang dihadapinya, ke Mahkamah Tinggi.
Beliau berpuas hati permohonan isteri Allahyarham Tun Daim itu tidak bermerit kerana tiada isu perlembagaan berbangkit dalam kes berkenaan. – MalaysiaGazette