Hamizah Hamid (kiri) dan Profesor Dr Sufian Jusoh

KUALA LUMPUR – Pakar diplomasi ekonomi yakin Malaysia mampu menangani isu tarif timbal balik Amerika Syarikat (AS) melalui rundingan yang sedang berlangsung.

Pengarah Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Dr Sufian Jusoh berkata, banyak isu perdagangan dan ekonomi dengan AS sebelum ini berjaya dicapai melalui rundingan.

“Kita mengadakan rundingan Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik pada zaman Presiden Barack Obama. Kita memberitahu Obama bahawa, anda boleh mendapatkan perolehan kerajaan, tetapi dasar Bumiputera kekal. Jadi AS bersetuju bahawa dasar Bumiputera kekal.

“Dan kemudian isu lain, mereka mengadu tentang harta intelek. Kemudian mereka juga melihat ke dalam perdagangan digital, penyiaran. Kita boleh menangani isu-isu tersebut. Kita telah melakukannya sebelum ini.

“Kejayaan (rundingan) adalah subjektif. Tetapi ada kemungkinan (berjaya) kerana terdapat perkembangan yang baik (rundingan tarif),” katanya kepada MalaysiaGazette.

Usaha rundingan berterusan antara enam strategi yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mendepani impak tarif timbal balas AS dalam Persidangan Khas di Dewan Rakyat pada 5 Mei lalu.

Profesor Dr Sufian Jusoh

Sufian berkata strategi yang dibentangkan adalah tepat sambil memuji langkah dan pendekatan yang diambil kerajaan melalui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam rundingan yang sedang berlangsung.

Katanya, Malaysia berada pada landasan yang betul dan reaksi positif yang diberikan oleh pemimpin AS menunjukkan permintaan negara sedang dipertimbangkan.

“Saya akan mengatakan hakikat bahawa mereka (MITI) berjaya mendapat dua pertemuan, dengan Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) dan juga ahli perdagangan. Dan kemudian apabila Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz. pergi ke Washington dia juga bertemu dengan ahli perniagaan lain.

“Itu penting, anda perlu memberi jaminan kepada perniagaan AS bahawa Malaysia sedang melakukan sesuatu. Jadi saya rasa MITI sedang mengambil banyak inisiatif positif untuk menangani isu tersebut.

“Dasar Presiden Donald Trump sangat tidak menentu. Malah, dengan UK, garis dasar (tarif) kekal untuk kebanyakan item. Jika kita boleh menyelesaikan satu atau dua atau tiga perkara, dan kemudian perkara lain yang akan dibincangkan kemudian, itu sepatutnya bagus, cukuplah buat masa ini,” katanya.

Sufian berkata, Malaysia tidak mempunyai masalah dalam rundingan melibatkan produk elektrik dan elektronik (E&E) , semikonduktor serta melibatkan peralatan penerbangan.

Ini kerana produk berkenaan turut melibatkan syarikat negara itu yang bertapak di Malaysia.

Tambah Sufian, enam strategi yang dibentangkan Perdana Menteri di Parlimen pada minggu lalu adalah tepat.

Menurutnya, strategi menggalakkan kerjasama serantau dan pasaran baharu, mempercepat pelaksanaan projek pembangunan dan kelulusan kerajaan, meneruskan agenda pembaharuan ekonomi MADANI dan membantu pengeksport terjejas melibatkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu diberi perhatian

“Saya rasa itu perlu kerana pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan melambatkan sedikit daripada 4.7% kepada 4.1%. Pengurangan 0.5%, itu adalah wang yang banyak. Jadi yang akan menderita ialah PKS, maka mereka perlu menangani keperluan PKS.

“Ada keperluan mempelbagaikan pasaran. Kita kena cari pasaran baru. Jadi ada keperluan untuk promosi kerana sebahagian daripada item yang kita jual adalah produk yang agak rumit dan kompleks. Anda tidak boleh hanya menjual di pasaran terbuka. Anda perlu mencari sesiapa yang berminat,” katanya.

Dr. Hamizah Hamid

Sementara itu Pensyarah Kanan Perniagaan Antarabangsa dan Keusahawanan, UKM, Dr. Hamizah Hamid juga bersetuju Malaysia mencari pasaran baharu termasuk Jepun, Hong Kong dan Amerika Selatan.

Malaysia juga perlu mengambil kesempatan kedudukan Kepengerusian ASEAN tahun ini dalam meneroka pasaran baru serantau.

“Keunikan Malaysia adalah kita rakan negara yang baik dalam kalangan negara-negara di dunia. Kita sokong apa yang sepatutnya, kita tak sokong perkara-perkara yang tak baik. Malaysia berada di posisi yang baik jika hendak strategikan semula implikasi dan kesan negatif daripada tarif Trump ini.

“Inilah masanya sebenarnya untuk Malaysia mengambil peluang untuk memanfaatkan dengan lebih giat lagi hubungan baik dan hubungan diplomasi antara Malaysia dengan negara-negara lain. Ada banyak yang boleh dimanfaatkan contohnya dari segi pelaburan dan perdagangan. Sebab dari segi jarak geografi kita ada kelebihan,” katanya.

Tambahan menurut Hamizah, banyak negara ASEAN menggunakan platform e-dagang yang sama dalam menjalankan perdagangan dan perniagaan seperti Shopee dan Lazada yang boleh mengurangkan kos.

Jelasnya, PKS boleh mengambil kesempatan tarif timbal balas yang dikenakan AS untuk meneroka peluang baharu dan terdapat banyak cara yang boleh kerajaan lakukan untuk membantu kumpulan ini.

“Pertama sekali bantuan kewangan boleh diberikan kepada syarikat-syarikat yang terkesan yang membolehkan mereka mencipta produk-produk baru ataupun jika hendak meneroka pasaran yang lain.

“Bantuan dari segi latihan untuk aktiviti penerokaan dan belajar perkara-perkara baru serta meningkatkan ekses dari segi meningkatkan infrastruktur e-dagang melibatkan pembelian dan penjualan,” katanya.

Trump sebaik mengangkat sumpah sebagai Presiden AS ke-17 pada Januari lalu mengumumkan tarif timbal balik terhadap lebih 75 negara rakan dagang termasuk Malaysia yang dikenakan tarif 24 peratus.

Datuk Seri Anwar dalam Sidang Khas Parlimen berkata, tindakan AS tidak wajar kerana bertentangan dengan keputusan Pertubuhan Perdagangan Dunia dan Malaysia membuat persiapan melalui enam strategi bagi mengatasi sekali gus mengekang kesan terhadap ekonomi negara.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here