Seorang warga emas maut selepas motosikal ditunggang dalam kemalangan di Jalan Johor Bahru-Air Hitam menghala Skudai, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Seorang warga emas maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer (KM) 2, Jalan Johor Bahru-Air Hitam menghala Skudai, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian berlaku pukul 12.40 tengah malam melibatkan lelaki berusia 67 tahun yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 dengan kereta jenis Lexus dipandu lelaki berusia 33 tahun.

“Hasil siasatan awal mendapati ketika pemandu kereta bergerak di lorong kanan daripada tiga lorong di lokasi kejadian. Mangsa yang berada di lorong tengah telah mengubah haluan secara tiba-tiba ke kanan.

“Akibat jarak yang terlalu dekat, pemandu kereta tidak sempat mengelak  dan telah melanggar sisi belakang motosikal tersebut.

“Akibat perlanggaran itu, mangsa telah tercampak di cermin depan sebelah kiri kereta tersebut dan jatuh ke atas jalan,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan dari Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Menurutnya, siasatan awal juga mendapati cukai jalan motosikal ditunggang mangsa telah tamat tempoh sejak 2019.

Ujian pernafasan yang dijalankan ke atas pemandu kereta mendapati  keputusan negatif alkohol, katanya.

Tambahnya, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ), 1987.

“Orang awam yang menyaksikan kejadian diminta menyalurkan maklumat dengan menghubungi balai trafik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD )Johor Bahru Selatan atau terus menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nurul Hadi Ali 019-5230102 bagi membantu siasatan,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here