KUALA LUMPUR – Selepas menunggu dua tahun, pelakon, Muhammad Hafidz Roshdi hari ini dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu daripada pertuduhan mencederakan bekas isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri.
Majistret Nurul Izzah Hasan Basri memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili pelakon itu manakala wang jaminan RM4,000 dikembalikan kepada bapanya selaku penjamin.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad memohon Muhammad Hafidz dilepas tanpa dibebaskan.
Bagaimanapun, Akberdin berhujah, mahkamah telah dimaklumkan oleh pihak pendakwaan Nurul Shuhada tidak berhasrat meneruskan kes manakala laporan polis yang dibuatnya telah ditarik balik pada 6 Julai tahun lalu.
Hujah beliau, Nurul Shuhada yang juga pengadu kes tidak hadir meskipun mahkamah telah menetapkan hari ini sebagai tarikh sebutan akhir.
Menurut peguam, sebelum ini, wanita tersebut juga tidak menghadiri prosiding atas alasan berada di luar negara.
Awal Ogos tahun lalu, media melaporkan Nurul Shuhada memaklumkan dia bersama dua anaknya telah berhijrah ke Australia.
Muhammad Hafidz dan Nurul Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 7, dan Umar, tiga tahun.
Berdasarkan rekod, sepanjang kes berlangsung sejak tahun 2023, Muhammad Hafidz hadir ke mahkamah sebanyak 11 kali termasuk prosiding sebutan.
Pada 14 Oktober tahun lalu, mahkamah bagaimanapun memerintahkan Nurul Shuhada hadir hari ini selepas pihak pendakwaan berpendirian untuk meneruskan perbicaraan.
Pada 13 Mac 2023, Muhammad Hafidz mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Nurul Shuhada dengan menumbuk pipi kiri wanita itu sebanyak tiga kali sehingga luka, lebam dan bengkak.
Pelakon tersebut didakwa melakukan perbuatan itu berhampiran susur keluar Tol Sungai Buaya pukul 3.22 pagi, 2 Mac 2023.
Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.
Kesalahan itu turut dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum bagi sabitan di bawah Seksyen 323 kanun yang sama. – MalaysiaGazette