JOHOR BAHRU – Polis menahan enam lelaki susulan kes pergaduhan melibatkan pengikut muzik skinhead di sebuah gim di City Plaza pusat yang membabitkan vokalis sebuah kumpulan muzik, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, enam suspek ditahan dalam siri serbuan yang dibuat pada kelmarin dan semalam.
“Kita berjaya menyelesaikan kes berkenaan selepas pendedahan kejadian itu menerusi video yang tular di media sosial.
“Susulan video berkenaan, polis membuat laporan pada pukul 1.14 pagi kelmarin sebelum mangsa pula membuat laporan polis pada pukul 3 petang semalam di Balai Polis Ampang, Selangor.
“Pada 11.30 malam kelmarin, tiga lelaki tempatan berusia 34 hingga 36 tahun ditahan di sekitar Johor Bahru dan Segamat, manakala semalam, tiga lagi lelaki tempatan berusia antara 28 hingga 40 tahun ditahan di sekitar dua daerah berkenaan,” katanya menerusi kenyataan akhbar, hari ini.
Raub berkata, pihaknya turut merampas enam telefon bimbit milik semua suspek.
Katanya, Raub berkata, hasil siasatan mendapati kejadian dipercayai berlaku di sebuah gimnasium dekat pusat beli-belah City Plaza di sini, pukul 10.30 malam, Sabtu lalu.
“Kejadian berlaku ketika berlangsungnya satu program persembahan ‘live band’ Remember 69 Rundown.
“Mangsa adalah vokalis kumpulan muzik dari Ampang, Selangor yang diserang beberapa orang lelaki menggunakan tong sampah besi.
“Punca kejadian dipercayai akibat salah faham lama yang berlaku antara suspek utama dengan mangsa ketika program muzik di Ampang pada tahun lalu,” katanya.
Menurut Raub, dalam kejadian itu, mangsa cedera di kepala, muka serta sakit di seluruh badan dan telah mendapat rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Ampang.
Katanya, tiga suspek pertama masing-masing mempunyai satu hingga tiga rekod jenayah lampau dan hanya seorang daripada mereka positif dadah menerusi ujian saringan awal air kencing.
“Mereka bertiga kini ditahan reman selama empat hari bermula semalam hingga Jumaat ini bagi siasatan lanjut,” katanya.
Raub berkata, tiga lagi suspek yang mana seorang daripadanya mempunyai satu rekod jenayah lampau dan seorang lagi positif ganja, direman empat hari bermula hari ini hingga Sabtu ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh bersenjata, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penyalahgunaan rangkaian media sosial serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan dadah dalam badan.
ihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan bagi cadangan pendakwaan terhadap semua suspek di mahkamah.
“Kita juga masih terus mengesan mana-mana individu lain yang mungkin terlibat dalam kejadian berkenaan,” katanya.- MalaysiaGazette