KUALA LUMPUR – Tiada jaminan kerjasama Barisan Nasional-Pakatan Harapan-Gabungan Rakyat Sabah (BN-PH-GRS) boleh mengelakkan pertembungan kerusi sesama sendiri dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) di Sabah.
Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, kesan luka pengkhianatan UMNO dan serangan berterusan terhadap GRS menyukarkan rundingan pembahagian kerusi.
“Lebih parah sekiranya Datuk Seri Bung Moktar Radin masih mengetuai UMNO Sabah dan rundingan pembahagian kerusi antara GRS dan BN akan sukar dicapai,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan kerjasama antara GRS, PH dan BN sebagai penting untuk menjamin kestabilan politik di peringkat negeri dan pusat.
Anwar yang juga Pengerusi PH ketika dalam lawatan ke Tawau pada Ahad berkata, perbincangan mengenai kerjasama antara PH Sabah, BN Sabah dan GRS masih berjalan dan belum dimuktamadkan.
Menurut Zulkarnain, asas penubuhan Kerajaan Negeri Sabah hari ini terbina menerusi gabungan GRS-PH dan sudah tentu kedua-dua blok politik ini tidak mempunyai masalah besar.
“Harus diingat semasa rancangan kudeta yang digerakkan oleh Bung Moktar dan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada 2023, PH tampil menyelamatkan kerajaan yang ada pada hari ini.
“Jika diukur dari segi jasa, tanpa PH sudah tentu GRS ketika ini akan duduk di kerusi pembangkang,” katanya.
Selain itu, kata Zulkarnain, dapatan kajian beberapa badan bebas dan penganalisis politik jelas menunjukkan GRS-PH Plus di bawah pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor telah menerima sokongan majoriti rakyat Sabah kurang dua tahun memerintah.
“Ironinya BN khususnya UMNO sebenarnya semakin hilang sokongan.
“Pertembungan kerusi antara GRS dan BN hanyalah sebagai pertandingan persahabatan, memandangkan di peringkat Persekutuan kedua-dua gabungan tersebut berada dalam satu pasukan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette