KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen hari ini diberitahu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menggeledah peti besi yang menyimpan sebahagian daripada wang tunai RM79 juta hasil penjualan lot tanah di Pulau Pinang.
Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli berkata, pasukan siasatan SPRM hanya mengunjungi pejabatnya untuk menyita beberapa dokumen ketika menyiasat kes rasuah berkaitan projek terowong dasar laut Pulau Pinang melibatkan bekas Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Beliau yang juga bekas pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB) menyatakan, peti besi miliknya itu langsung tidak disentuh walhal sebahagian wang RM79 juta itu disimpan di dalamnya.
“SPRM hanya memberi tumpuan di sekitar bilik mesyuarat dan meminta dokumen daripada pegawai saya. Mereka langsung tidak buka peti besi itu,” ujar beliau pada sesi pemeriksaan semula yang dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Jumaat.
Zarul Ahmad yang juga saksi pendakwaan ke-23 menyatakan demikian ketika memberi keterangan pada perbicaraan Guan Eng yang menghadapi pertuduhan rasuah berkaitan projek berkenaan.
Mahadi: Datuk ditanya oleh pasukan pembelaan bahawa Datuk menyimpan banyak wang dalam peti besi? Jelaskan.
Zarul: Saya terima RM79 juta daripada Datuk Ewe Siew Kheng (mendiang) di antara tahun 2013 dan 2017 berkaitan penjualan lot tanah pada 2016.
Mahadi: Pembelaan menyatakan ketika itu Datuk disiasat oleh SPRM, wang sebenarnya tiada dalam peti tersebut kerana dikhuatiri dirampas. Boleh jelaskan?
Zarul: Ketika SPRM datang, sebahagian daripada RM79 juta itu memang ada dalam peti besi, cuma mereka tidak menggeledahnya.
Mahadi: Oleh kerana kandungan peti besi itu tidak direkodkan, maka wang tersebut sebetulnya tiada di dalamnya?
Zarul: Duit memang ada tersimpan, kalau tidak bagaimana saya hendak keluarkan dan beri sumbangan kerana pilihan raya (ketika itu) tidak lama lagi.
Menjawab soalan berkaitan wang RM19 juta yang diberikan kepada seorang ahli perniagaan G. Gnanaraja, saksi mengulangi keterangan bahawa wang itu bertujuan menutup siasatan pengubahan wang haram yang sedang dihadapinya.
Ketika ditanya mengapa beliau memberi wang tersebut, Zarul Ahmad menjelaskan: “Ketika itu saya tahu siasatan akan menjurus kepada YB Lim Guan Eng, mereka tentu akan melakukan siasatan terperinci. Saya takut pemberian-pemberian wang ini akan terdedah.
“Sudah tentu ia (pemberian wang) juga untuk menyelamatkan diri saya dan hakikatnya ia turut bertujuan melindungi Guan Eng kerana saya terhutang budi kepadanya,”.
Pada sesi pemeriksaan semula itu, Zarul Ahmad turut ditanya mengenai kenyataan media yang dibuatnya pada 4 Mac 2019 menafikan tiada penglibatan rasuah dalam pelaksanaan projek itu.
Saksi pendakwaan itu menjelaskan, beliau diarah oleh Guan Eng membuat kenyataan untuk membersihkan nama beliau (tertuduh) dan syarikatnya.
Ujar Zarul Ahmad, SPRM tidak pernah mengugutnya, namun oleh kerana beliau antara individu terakhir dipanggil memberi kenyataan, beliau tidak pilihan kecuali memberitahu perkara sebenar selepas agensi itu membentangkan butiran kukuh hasil siasatan.
Guan Eng, 64, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu, menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan berjumlah RM3.3 juta dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan projek terbabit antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.
Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah untuk membantu syarikat itu dilantik bagi projek sama.
Beliau turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan dengan projek terowong dasar laut di negeri itu.
Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 27 Mei ini. – MalaysiaGazette.