Tentera berpangkat sarjan direman tujuh oleh Mahkamah Majistret Alor Gajah, Melaka hari kerana disyaki mencabul seorang pelajar MRSM, minggu lalu.

MELAKA – Seorang tentera berpangkat sarjan direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Alor Gajah, di sini, hari ini kerana disyaki mencabul seorang pelajar sekolah berasrama penuh, minggu lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, perintah reman terhadap pegawai tentera berusia 32 tahun itu dikeluarkan Majistret Dr Teoh Shu Yee bermula hari ini sehingga 20 Mei ini.

Ia bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar

Sementara itu menurut sumber, kejadian terbongkar pada Ahad lalu ketika pengadu, iaitu ibu pelajar berkenaan surirumah berusia 33 tahun sedang berehat di rumahnya di Taman Ayer Molek Perdana, Kuala Sungai Baru.

“Ketika memeriksa telefon bimbit anak sulungnya berusia 13 tahun, pengadu terlihat perbualannya dengan suspek sebelum bertanyakan perkara berkenaan kepada mangsa.

“Remaja berkenaan kemudian mengaku menyimpan nombor telefon jirannya itu dan telah keluar beberapa kali sehingga suspek bertindak memegang paha dan badan mangsa semasa berada di dalam kereta suspek di kawasan sekitar pekan Alor Gajah.

“Pengadu kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Sungai Baru semalam dan membawa mangsa ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Menurutnya hasil siasatan polis mendapati, suami pengadu juga bekerja sebagai tentera berpangkat koperal di Kem Terendak dan mangsa adalah pelajar Tingkatan 1 di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Melaka.

Sumber berkata, mangsa kerap berhubung dengan suspek melalui WhatsApp sehinggalah pada 4 Mei lalu pegawai tentera itu telah mengambil pelajar berkenaan di asrama pada jam 11 pagi kerana dibenarkan keluar.

“Suspek kemudian membawa mangsa bersiar-siar di sekitar kawasan Alor Gajah sebelum mencabulnya di dalam kereta suspek dengan cara meraba payudara dan kemaluan mangsa beberapa kali.

“Lelaki itu kemudian membawa mangsa ke restoran dan menghantarnya pulang ke asrama selepas itu,” katanya.

Menurutnya susulan itu, suspek telah ditahan di Pejabat Bahagian Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Melaka, kira-kira jam 6.30 petang semalam. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here