Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban bercakap pada sidang media kegiatan pemalsuan E-PLKS dan ejen haram ditumpas di pejabat Imigresen, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 14 MEI 2025

PUTRAJAYA – Hanya dengan menggunakan kertas A4, mesin pencetak dan komputer, seorang warga Bangladesh mengaut keuntungan sehingga mencecah RM50,000 hasil daripada kegiatan mencetak slip Permohonan Lanjutan Pas Lawatan Kerja Sementara (e-PLKS) palsu.

Lelaki berusia 30 tahun itu menjalankan kegiatan itu dengan berselindung disebalik premis menjual karpet di Jalan Tun Tan Siew Sin, di Kuala Lumpur yang diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), kelmarin.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, suspek dipercayai bergiat aktif sejak enam bulan lalu dengan mengenakan bayaran RM50 bagi sekeping dokumen e-PLKS palsu.

“Untuk makluman, e-PLKS ini hanya dalam bentuk slip yang dicetak atas kertas A4 biasa, sebab itu kosnya rendah, jika melibatkan PLKS sebenar, kosnya lebih tinggi kerana memerlukan kertas khas.

“Lelaki Bangladesh terbabit ditahan ketika sedang mencetak e-PLKS palsu, malah ketika serbuan format e-PLKS palsu itu masih terpapar di skrin komputer yang dipercayai digunakan untuk mencetak dokumen,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek memiliki dokumen Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) di bahagian perkhidmatan yang masih sah sehingga 16 April 2026.

Sementara itu dalam satu lagi operasi berasingan, tiga lelaki warga India yang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah ditahan dalam serbuan ke atas sebuah premis di sekitar Jalan Masjid India, di ibu negara.

“Tiga lelaki ditahan berusia lingkungan 39 hingga 64 tahun disyaki dan pasukan operasi menemui 498 naskah pasport antaranya India, Pakistan, Bangladesh, Sri Lanka, Indonesia dan Nepal.

“Mereka dipercayai melakukan kegiatan sama menjual slip e-PLKS namun dipercayai tiada kena mengena dengan suspek dalam serbuan pertama,” ujarnya.

Mengulas lanjut Zakaria berkata, sindiket terbabit mempromosikan kegiatan mereka secara mulut ke mulut sahaja bagi mengelak dihidu pihak berkuasa.

Tambah beliau, pihaknya tidak menolak kemungkinan ada antara pemilik pasport dan pelanggan sindiket terbabit menjadi mangsa penipuan dan dijanjikan dengan dokumen perjalanan yang sah.

Pada masa sama, beliau tidak menolak kemungkinan ada majikan yang menggunakan perkhidmatan sindiket menjual e-PLKS palsu berkenaan bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Tujuan pemalsuan ini adalah untuk menggunakan maklumat biodata dari pasport dalam permohonan e-PLKS, tanpa pasport (asal) maklumat tidak dapat dimasukkan.

“Kebanyakan mereka (pemilik pasport dirampas) tiada sebarang rekod rasmi, sekadar memiliki pasport namun tiada rekod pekerjaan yang kita percaya mereka datang dari pelbagai sektor.

“Kita tidak dapat pastikan keberadaan mereka buat masa ini, namun operasi akan diteruskan, jika mereka ditangkap dalam mana-mana operasi, mereka akan ditahan,” katanya

Jelas beliau, kesemua suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 6(1)(c) 1959/63 dan Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here