OLEH Ahmad Albab
PAGI semalam kita dikejutkan dengan kematian sembilan anggota FRU yang terlibat dalam kemalangan dengan lori pasir. Ini bukanlah kes terpencil kerana kemalangan yang melibatkan banyak nyawa sekaligus ini agak kerap berlaku. Kadar kematian yang tinggi sehingga hampir 20 orang sehari di negara ini amatlah menyedihkan. Ia merupakan satu malapetaka yang harus ditangani dengan lebih baik.
Nahas jalan raya merugikan negara sehingga berbilion ringgit setiap tahun. Ada kajian yang mengatakan secara purata satu nyawa yang hilang bermakna negara kita kehilangan lebih dari RM3 juta. Umumnya negara kita kerugian berpuluh billion ringgit setahun akibat nahas jalan raya. Kemalangan jalan raya melibatkan kerugian harta benda, bayaran pampasan, kos perubatan, kos membaik pulih infrastruktur jalan dan pelbagai lagi tuntutan yang berkaitan. Selain itu, ramai yang menjadi cacat seperti kehilangan anggota badan, lumpuh, buta dan hilang untuk bekerja sehingga memerlukan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dengan menggunakan wang cukai yang dibayar oleh rakyat.
Kemalangan juga menyebabkan kesesakan jalan raya yang teruk dan jika kos kehilangan masa akibat kesesakan diambilkira, ia sebenarnya merugikan negara dari segi produktiviti dalam jumlah yang amat besar.
Mutakhir ini, kemalangan yang melibatkan kenderaan berat semakin menjadi-jadi dan tidak nampak sebarang pengurangan. Sehubungan itu, saya ingin mencadangkan beberapa perkara yang boleh dijadikan intervensi oleh pihak berkuasa untuk mengurangkan kemalangan, sekaligus menjadikan jalan raya selamat untuk semua.
1. Kurangkan had laju kebangsaan — buat masa ini, hadlaju kebangsaan ialah 110km/j di lebuhraya dan bagi kenderaan berat maksima ialah 90km/j. Bagi jalan persektuan dan negeri, hadlaju untuk kereta ialah 90km/j dan 80km/j untuk kenderaan berat.
Saya ingin mencadangkan agar hadlaju ini turunkan sebanyak 10km/j menjadikan hanya 100km/j dilebuhraya dan 80km/j di jalan persekutuan dan negeri untuk kereta. Ini bermakna secara automatik kelajuan untuk kenderaan berat diturunkan kepada 80km/j di lebuhraya dan 70km/j di jalan negeri dan persekutuan.
Kajian menunjukkan kenderaan akan lebih mudah dikawal pada kelajuan yang lebih rendah berbanding ketika laju. Ini akan mengurangkan kes kenderaan terbabas dan jika berlaku kemalangan, impak akan lebih rendah sehingga boleh mengurangkan kematian atau kecederaan serius. Di Australia Barat, pihak berkuasa berkempen untuk mengurangkan hanya 5km/j lebih rendah kerana mereka percaya dengan kelajuan yang dikurangkan hanya sedikit sahaja pun akan mampu menyelamatkan banyak nyawa.
Dalam kajian keselamatan jalan raya, kelajuan adalah punca utama kemalangan yang berkaitan dengan sikap. Telah banyak kajian di seluruh dunia membuktikan bahawa kes kemalangan dan kematian adalah berkait rapat dengan kelajuan.
2. Wujudkan had laju minima – hadlaju minima yang ditentukan akan mengurangkan perbezaan kelajuan di kalangan kenderaan pada arah yang sama. Hadlaju yang hampir sekata (tidak ada yang terlalu laju dan tidak ada yang terlalu perlahan) akan mewujudkan aliran yang lebih selamat. Di banyak negara, hadlaju minima diperkenalkan untuk tujuan ini dan adalah menjadi kesalahan jika memandu kurang dari hadlaju minima yang ditetapkan.
3. Imbuhan bayaran untuk ‘mata-mata’ di jalan raya – Memandangkan penguatkuasaan melibatkan penguatkuasa adalah terhad, adalah wajar sekiranya Kerajaan menjadikan setiap pengguna jalan sebagai ‘mata-mata’ untuk tujuan penguatkuasaan. Bayaran boleh dibuat kepada penyampai maklumat pada kadar tertentu jika terdapat kes dan bayaran saman telah diselesaikan oleh pesalah. Ini boleh dilakukan dengan penggunaan kamera dash cam yang meluas.
4. Tingkatkan penguatkuasaan automatic – penggunaan kamera penguatkuasaan seperti AWAS perlu diperluaskan bagi mendisiplinkan pemandu. Setiap daerah perlu mengenalpasti kawasan kemalangan dan memasang kamera pada kawasan tersebut.
5. Tingkatkan kempen keselamatan jalan raya – buat masa ini, kempen keselamatan jalan raya hampir tidak wujud terutamanya di media utama seperti akhbar dan TV. Kempen pada media sosial juga tenggelam dan tidak bertahan lama. Sebaiknya pihak berkuasa menggunakan papan iklan (billboards) kerana ia lebih berkesan.
6. Hukuman penjara bagi pemandu yang tidak berlesen – Pemandu yang tidak berlesen tidak sepatutnya menggunakan apa jenis kenderaan di jalan raya. Mereka yang tidak pernah mengambil lesen tidak belajar mengenai risiko walaupun mereka mungkin boleh mengendalikan kenderaan. Di negara yang undang-undang keselamatan jalan raya lebih ketat, pemandu yang tidak berlesen boleh dipenjarakan dan bukan sekadar dikenakan denda.
7. Tol untuk penunggang motosikal di lebuhraya – saya juga ingin menyarankan agar penunggang motosikal dikenakan ‘tol keselamatan’ bagi mengurangkan aktiviti seperti merempit di lebuh raya. Buat permulaan, tol keselamatan ini boleh dikenakan pada hari Jumaat (selepas tengah malam) sehingga hari tengahmalam hari Ahad. Ini adalah kebanyakan pengguna motosikal yang menggunakan lebuhraya pada hari minggu adalah untuk tujuan rekreasi atau bersuka-suka dan bukannya untuk berulang alik ke tempat kerja. Kerapkali terdapat kemalangan yang melibatkan motosikal di lebuh raya pada hari minggu sehingga menyebabkan kesesakan kepada pengguna lain.
8. Perbanyakkan papan tanda hadlaju – papan tanda hadlaju perlu dibanyakkan bagi mengingatkan pengguna jalan raya bahawa setiap kawasan mempunyai hadlaju yang berbeza dan mesti dipatuhi.
9. Tailgating dan road hogging sebagai kesalahan – di Malaysia, ramai yang memandu secara merbahaya. Bukan sahaja mereka memandu melebihi had laju, tetapi pemandu di Malaysia juga suka ‘mencucuk’ untuk mengenepikan kenderaan Ini dipanggil ‘tailgating’ dan di negara lain, ini merupakan satu kesalahan yang serius. Di Malaysia, kemalangan berangkai kerap berlaku kerana terlalu banyak kenderaan memandu secara rapat pada kelajuan tinggi melebihi had laju yang dibenarkan. Selain itu, mereka yang memandu di bawah kelajuan maksima perlu berada di lorong perlahan jika berada di lorong laju dan mengganggu kenderaan lain kerana ‘road hogging’, boleh juga disaman.
Saya mencadangkan agar pihak kerajaan boleh mengambil tindakan yang sewajarnya seperti yang disarankan untuk kebaikan semua pengguna jalan. Terima kasih.
— MalaysiaGazette