Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pemilihan PKR kali ini menyaksikan persaingan sengit dengan 251 calon bertanding di peringkat Pusat.

Yuran pencalonan yang dikenakan parti itu ternyata tinggi, bermula dari RM30 hingga mencecah RM50,000, sekaligus menjana kutipan RM1.9 juta.

Sinchew Daily melaporkan, tidak seperti parti lain, PKR mengenakan yuran pencalonan yang tidak dikembalikan bagi pemilihan cabang dan pusat.

Yuran terendah adalah RM30 untuk jawatan AJK sayap pemuda atau wanita cabang, manakala jawatan tertinggi, Presiden, mengenakan yuran RM50,000.

Yuran bagi Timbalan Presiden pula adalah RM35,000 dan Naib Presiden RM25,000.

Pencalonan Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dikenakan yuran RM10,000, sama seperti deposit calon kerusi Parlimen. Dengan 89 calon bertanding untuk jawatan MPP, PKR berjaya mengutip RM890,000.

Selain itu, 12 calon Naib Presiden menyumbang RM300,000 kepada parti.

Malah, calon Ketua Cabang juga perlu membayar RM600 dan jumlahnya tidak kecil susulan jawatan yang banyak di seluruh negara.

Yuran pencalonan menjadi tumpuan apabila Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli, dilaporkan mengalami detik “mencemaskan” apabila kad kreditnya ditolak ketika membayar yuran pencalonan Timbalan Presiden.

Beliau terpaksa membuat beberapa percubaan sebelum berjaya kerana dua kreditnya telah mencapai had maksimum.

Seorang calon pemilihan mendedahkan kutipan yuran pencalonan masih tidak mencukupi untuk menampung kos pemilihan parti yang dianggarkan antara RM3juta hingga RM4 juta.

“Kongres Nasional PKR sahaja menelan belanja kira-kira RM2 juta, termasuk kos makan minum, penginapan dan lain-lain,” katanya.

Beliau menambah, PKR turut melabur dalam sistem pemilihan dalam talian yang canggih, dengan anggaran kos RM1 hingga RM2 juta.

“Justeru, yuran pencalonan ini sebenarnya tidak banyak berbanding kos keseluruhan, dan kutipan tersebut dianggap sebagai sumbangan kepada parti,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here