Foto: FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membangkitkan keputusan Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) berhubung insiden pesawat MH17 secara terus di hadapan Presiden Rusia, Vladimir Putin dalam pertemuan dua hala di Kremlin, Rusia semalam.

Menurut Perdana Menteri, ia merupakan ruang penting untuk Malaysia mendapatkan penjelasan terus daripada Kerajaan Rusia mengenai keputusan ICAO tersebut.

Tegas beliau, Malaysia kekal dengan pendirian bahawa kebenaran dan keadilan harus terus diperjuangkan dengan menuntut kerjasama semua pihak dalam memastikan siasatan serta proses yang bebas dan adil.

“Malaysia akan terus bersuara secara berprinsip dan tegas demi memastikan keadilan buat mangsa dan keluarga mereka yang terkesan dengan insiden pilu ini,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau malam tadi.

Sementara itu, menerusi video yang turut dimuat naik menerusi hantaran sama, Anwar berkata, dalam reaksi terhadap isu itu, Putin menegaskan beliau telah menuntut supaya siasatan rapi, menyeluruh dan tidak dipolitikkan berhubung insiden tersebut.

Ujarnya, Putin juga menegaskan beliau dari awal mahukan supaya kajian yang dibuat ICAO harus bebas dan teliti serta sedia memberikan kerjasama untuk memastikan laporan tersebut lebih berkredbiliti dan berwibawa.

“Saya tentunya sampaikan kepada keluarga (mangsa MH17), cuma yang saya dapat pastikan bahawa dia (Putin) kata tidak pernah, kalau dia tidak sedia bekerjasama.

“Tapi dia tidak mampu bekerjasama pada mana-mana badan yang dia anggap atau Rusia anggap sebagai tidak bebas,” katanya.

Pada Isnin lalu, ICAO yang merupakan badan penerbangan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), memutuskan Rusia bertanggungjawab menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17 di Donetsk, Ukraine pada 2014 yang mengorbankan 298 penumpang termasuk 15 anak kapal.

Menurut laporan ICAO, pesawat itu yang dalam perjalanan dari Amsterdam, Belanda ke Kuala Lumpur ditembak jatuh oleh peluru berpandu Rusia semasa terbang melintasi timur Ukraine, ketika berlakunya pertempuran antara kumpulan pemisah pro-Rusia dan tentera Ukraine. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here