KUALA LUMPUR – Sebanyak enam kompaun telah dikeluarkan terhadap kontraktor di dua tapak bina sekitar Wangsa Maju pada 13 Mei lalu selepas pemeriksaan mendapati pelbagai pelanggaran undang-undang.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu hantaran di Facebook berkata, antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk persekitaran kerja tidak selamat, pengurusan sisa yang lemah serta wujud potensi pembiakan serangga pembawa penyakit.
Oleh itu, tindakan telah dikenakan di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 dan Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1994.
Operasi bersepadu telah dijalankan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) serta Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).
Menurutnya, tindakan penguatkuasaan seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan tahap kebersihan dan keselamatan tapak bina sentiasa dipelihara. – MalaysiaGazette