BALIK PULAU – Sebuah syarikat pembuatan didenda sebanyak RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas dua pertuduhan gagal memastikan keselamatan di tempat kerja hingga menyebabkan kemalangan pekerja.
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang dalam kenyataan berkata, Syarikat Premec Asia Pacific Sdn Bhd yang tidak diwakili peguam, mengaku bersalah selepas pertuduha itu dibacakan di hadapan Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin.
“Bagi pertuduhan pertama, syarikat berkenaan didenda sebanyak RM15,000 selepas mengaku bersalah sebagai majikan yang gagal menjalankan pentaksiran risiko bagi aktiviti kerja penyelarasan Computer-Aided Manufacturing (CAM) sebelum mesin ‘Refill’ beroperasi di kilang itu sehingga menyebabkan kemalangan ke atas pekerja.
“Manakala bagi pertuduhan kedua, syarikat berkenaan dikenakan denda sebanyak RM15,000 selepas mengaku salah atas kegagalan melantik Penyelaras Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH-C) di tempat kerja yang mempunyai pekerja melebihi daripada lima orang.
“Syarikat itu didakwa mengikut Seksyen 18B(1) dan Seksyen 29A(1), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Pindaan) 2022 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah kenyataan itu, JKKP berharap kes berkenaan dapat beri pengajaran kepada semua majikan dan pekerja supaya mengambil berat terhadap pematuhan kepada undang-undang sentiasa diambil berat demi keselamatan pekerja dan kepentingan awam. – MalaysiaGazette