Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

KUALA LUMPUR – Gerakan belia di negara ini memerlukan ekosistem politik yang baharu dan segar bagi merealisasikan demokrasi yang lebih matang.

Bekas Presiden Majlis Belia Malaysia, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, ini kerana kerangka lama seperti percaturan oleh elit politik mengikut versi Barisan Nasional (BN) telah ditolak golongan itu.

Katanya, untuk bergerak ke hadapan, beliau mencadangkan kerangka kerjasama semua pihak dalam kalangan pertengahan dan centrist.

Ahli Parlimen Indera Mahkota menjelaskan, dalam hal ini, ia melibatkan tiga insentif iaitu dari segi pilihan raya, perundingan dan parti politik.

“Pertama adalah ‘insentif pilihan raya’ di mana keadaan ahli-ahli politik berbicara bersama rakyat dan berkempen untuk meraih undi daripada pengundi pelbagai kaum iaitu selain daripada kaumnya sendiri sahaja.

“Ini akan menyebabkan belia menyederhanakan seruan politiknya dengan mengetengahkan dasar-dasar dan program-program yang lebih meluas dan inklusif serta mengetepikan isu-isu yang sempit dan divisif,” katanya dalam satu kenyataan sempena Hari Belia Negara 2025, hari ini.

Saifuddin menambah, cadangan kedua melibatkan ‘insentif perundingan’ iaitu wujudnya pelbagai platform, contohnya, dialog, town hall dan majlis perundingan di mana ahli-ahli politik dan semua pihak berbincang dan membuat persefahaman-persefahaman.

“Dan ketiga, ‘insentif parti politik’ iaitu parti-parti politik menerima keanggotaan pelbagai kaum (sebagai anggota penuh atau bersekutu; atau membentuk gabungan dengan parti yang mempunyai anggota daripada kaum-kaum lain) dan mempunyai pendirian-pendirian serta menawarkan dasar-dasar dan program-program yang berciri rentas kaum dan moderat.

“Kesimpulannya, kita perlu membangunkan pemikiran politik dan demokrasi yang lebih sesuai dan segar demi masa depan Malaysia yang lebih baik,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here