Keadaan bangkai trak polis dan lori muatan batu dalam nahas jalan raya yang mengorbankan sembilan mangsa termasuk anggota Pasukan Simpanan Polis Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus - Sungai Lampan, Teluk Intan, pada Selasa. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 13 MEI 2025.

KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta memperkenalkan bas khas yang tertutup, selamat dan dilengkapi dengan tempat duduk individu serta tali pinggang keselamatan demi keselamatan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhammad Akmal Saleh berkata, ini bukanlah permintaan mewah sebaliknya keperluan asas demi menjamin keselamatan mereka yang mempertaruhkan nyawa demi negara, yang berdiri di antara ancaman keselamatan dan perlindungan kepada rakyat.

Tegas beliau, video tular kemalangan yang mengorbankan sembilan anggota FRU dalam kejadian awal minggu ini menunjukkan mereka duduk bersesak dalam lori tanpa tali pinggang keselamatan, penyaman udara, apa-apa ciri keselamatan minimum cukup untuk membuka mata dan mengetuk hati sesiapa pun yang ada rasa tanggungjawab.

“Saya tidak berniat untuk menyalahkan mana-mana pihak, namun sebagai pembuat dasar dan wakil suara anak muda Malaysia, saya terpanggil untuk menyuarakan apa yang mungkin ramai pendamkan.

“Sudah tiba masanya kita berani mengaku ada banyak yang perlu diperbaiki. Ini bukan kejadian pertama. Dan jika kita masih berdiam diri, ini juga bukan yang terakhir,” katanya dalam kenyataan di sini.

Dr Muhammad Akmal Saleh

Tegas beliau, kerajaan perlu berhenti menormalisasikan keadaan kerja yang tidak manusiawi untuk anggota keselamatan negara kerana sudah terlalu lama mereka dibiarkan menjalankan tugas dalam keadaan yang tidak selamat dan tidak selesa.

Sedangkan, dakwanya, pemimpin dan pengarah boleh duduk di dalam kenderaan mewah berhawa dingin ketika menjalankan tugas rasmi tetapi anggota keselamatan negara yang berada di barisan hadapan dilayan seperti barang muatan.

“Ini bukan sahaja tidak adil, ini satu penghinaan terhadap maruah dan pengorbanan mereka,” ujarnya.

Lantaran itu, beliau menggesa lori-lori lama yang digunakan untuk mengangkut anggota keselamatan perlu digantikan dengan segera.

Pada masa yang sama, saya menggesa Kementerian Pengangkutan untuk memperketat penguatkuasaan terhadap lori-lori komersial yang sering kali melebihi muatan dan dipandu secara melulu demi mengejar keuntungan kerana sudah terlalu banyak nyawa melayang kerana kelalaian dan kecuaian yang boleh dielakkan.

Keadaan bangkai trak polis dan lori muatan batu dalam nahas jalan raya yang mengorbankan sembilan mangsa termasuk anggota Pasukan Simpanan Polis Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus – Sungai Lampan, Teluk Intan, pada Selasa. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 13 MEI 2025.

Dr. Akmal berkata, setiap tragedi datang bersama pengajaran, malangnya kita sering gagal mengambil iktibar sehingga tragedi seterusnya berlaku.

Oleh itu, beliau merayu kepada pihak kerajaan supaya melihat isu ini dengan mata yang terbuka, dan lebih penting, dengan hati yang peduli.

“Jika kekangan bajet menjadi alasan, maka menjadi tanggungjawab kita sebagai pemimpin untuk mencari jalan, bukan berdiam diri dan berserah kepada takdir. Jika pemimpin boleh menuntut keselesaan dan keselamatan, maka anggota keselamatan kita jauh lebih berhak.

“Cukuplah mereka dibiarkan berkhidmat dalam keadaan yang tidak terjamin. Sudah tiba masanya kita balas pengorbanan mereka dengan tindakan, bukan sekadar ucapan,” tegasnya.

Dr. Akmal berkata, Pemuda UMNO akan terus bersuara dan mendesak demi perwira-perwira negara yang telah pergi, dan mereka yang masih setia berkhidmat.

“Sekiranya pengorbanan mereka ini menjadi asbab kepada kita semua untuk bangkit dari lena, menjadi lebih cakna dan berubah kepada yang lebih baik, moga segala kebaikan yang dihidupkan kelak, menjadi pahala yang mengalir sebagai bekalan para wira kita di sana,” tambahnya yang cukup sedih dengan kematian sembilan anggota FRU dalam nahas berkenaan.

Beliau menyifatkan kematian mereka bukan sekadar kehilangan seorang anggota, tetapi kehilangan seorang anak bangsa yang berbakti, seorang perwira yang pergi ketika menjalankan amanah kepada negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here