KUANTAN – Seorang pengarah pengurusan syarikat mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menjual dua ekor singa putih dan seekor kucing Eurasean Lynx bernilai RM68,000 kepada Zoo Melaka selepas dituduh di Mahkamah Seksyen Kuantan, hari ini.
Tertuduh, Datuk Jimmy Chan atau nama sebenarnya Chan Kong San menganguk faham atas pertuduhan di bawah Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan yang dilakukan pada tahun 2021 selepas dibacakan di hadapan Hakim Sazlina Shafie.
Pengarah Pengurusan Sentoria Themeparks And Resorts Sdn Bhd itu dituduh dengan curangnya menyembunyikan fakta bahawa dua ekor singa putih (Panthera leo krugeri) serta seekor ekor kucing Eurasian Lynx (Lynx lynx) sebenarnya telah dijual kepada pihak Zoo Melaka oleh syarikat berkenaan.
Tertuduh merupakan adalah salah seorang pengarahnya menjual haiwan itu dengan bayaran RM68,000, bertentangan dengan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716].
Perbuatan tertuduh itu dengan sengaja mendorong Pengarah Jabatan Perhilitan Negeri Pahang tidak menghalang permohonan syarikat Sentoria Themeparks And Resorts Sdn. Bhd. untuk membuat pemindahan hidupan liar yang dilindungi di bawah Akta 716 secara serahan kepada Zoo Melaka berdasarkan surat bertarikh 11 Mac 2021.
Beliau didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan [Akta 574] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 417 Kanun yang sama dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh yang boleh sampai lima tahun; atau dengan denda; atau dengan kedua-duanya.
Kes dikenadalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Sharina Farhana Nor Sha’ari.
Pihak pendakwaan menawarkan wang jaminan sebanyak RM25,000 beserta syarat tambahan yang lain.
Manakala Jimmy Chan diwakili peguambela, Datuk Bob S. Aramugam memohon mahkamah agar mengurangkan wang jaminan.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM15,000 dan mengarah menyerahkan pasport serta tertuduh perlu melaporkan diri di Pejabat SPRM Putrajaya setiap bulan sehingga kes selesai.
Hakim menetapkan sebutan semula kes pada 29 Julai ini. – MalaysiaGazette