KUALA LUMPUR – Seorang lelaki maut selepas van yang dipandunya bertembung dengan sebuah treler di KM 88, Jalan Jerangau-Jabur, berhampiran Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS), Dungun kira-kira jam 7.26 malam tadi.
Mangsa, Muhammad Aliff Fakhrullah, 21, yang berasal dari Kampung Paman, Kemaman disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tersepit dan mengalami kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Maizura Abdul Kadir berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang bekerja sebagai juruteknik sedang dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu menuju ke Kemaman.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila van yang dipandu mangsa memotong sebuah kenderaan sebelum bertembung dengan treler dari arah bertentangan.
“Akibat perlanggaran itu, van mangsa remuk teruk dan mangsa tersepit di tempat duduk pemandu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Maizura, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al Muktaffi Billah Shah dan Paka telah dikejarkan ke lokasi kejadian bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Operasi menyelamat mengambil masa kira-kira 30 minit sebelum mayat mangsa berjaya dikeluarkan.
“Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat,” ujarnya.
Manakala pemandu treler bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” ujarnya.
Siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette