Mohammad Shatar Sabran

KUALA LUMPUR –  Dakwaan segelintir pihak yang melabelkan program pengajian ditawarkan oleh universiti di negara ini sebagai ‘bodoh’ atau tidak berguna disifatkan sebagai tidak berasas dan tidak bertanggungjawab.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran menegaskan, setiap program yang ditawarkan oleh institusi pendidikan tinggi (IPT) telah melalui pelbagai peringkat saringan dan penilaian rapi sebelum diluluskan oleh pihak berwajib.

“Kenyataan sebegitu sangat tidak tepat kerana setiap program perlu melalui pelbagai peringkat penilaian untuk memastikan kualiti dan keberkesanannya dalam menyediakan graduan yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara.

“Isu kebolehpasaran graduan tidak boleh disandarkan sepenuhnya kepada program pengajian semata-mata, sebaliknya turut dipengaruhi oleh faktor luar seperti ekonomi dan keadaan pasaran kerja semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas video tular seorang pempengaruh yang mendakwa program seperti komunikasi massa (masscomm), muzik, teater dan seni tari tradisional sebagai ‘bodoh’ dan tidak perlu diikuti hingga ke tahap ijazah sarjana muda untuk mendapatkan ilmu dalam bidang berkenaan.

Mohammad Shatar yang juga seorang pakar sosial berkata, pempengaruh itu melakukan hal demikian mungkin hanya mahu meraih perhatian dan interaksi (engagement) dengan warga maya untuk terus relevan di laman sosial.

“Ini semua algoritma media sosial, dia buat video sedemikian untuk ‘memancing’ tontotan dan reaksi warganet.

“‘Rage bait’ (umpan kemarahan) dan ‘click bait’ (umpan kandungan) itu ditujukan kepada golongan yang ‘bergelumang’ dengan dunia media, justeru jelas dia mahu sesuatu dengan cara mengundang amarah khalayak tertentu, ini terbukti apabila dia mempromosi ulasan berbayar di akhir video,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, dalam usaha meningkatkan kebolehpasaran graduan, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan semua agensi di bawahnya termasuk MQA sentiasa menggalakkan pelajar agar menambah nilai kendiri, misalnya melalui penguasaan pelbagai bahasa dan kemahiran tambahan lain.

Katanya, pelajar perlu memperkasa diri dengan elemen tambahan bagi meningkatkan daya saing mereka dalam pasaran kerja.

“Bagi isu video yang tular itu, diharap masyarakat tidak mudah terpengaruh dengan pandangan negatif pihak tidak memahami sistem pendidikan negara.

“Setiap program universiti sama ada ditawarkan oleh institusi awam mahupun swasta di Malaysia, telah disaring secara teliti dari segi kandungan dan relevansinya yang melibatkan panel pakar dalam bidang berkaitan serta kajian pasaran bagi menjamin prospek kerjaya graduan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa semua program tersebut turut dinilai oleh badan antarabangsa, menjadikan kelayakan akademik dari Malaysia diterima pakai di seluruh dunia.

“Graduan dari IPT di Malaysia tidak menghadapi masalah untuk diterima bekerja di luar negara kerana tahap kualiti pendidikan kita telah diiktiraf secara global,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here