PUTRAJAYA – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH), Nasiruddin Mohd Ali dan isteri, Azura Md Yusof gagal mengembalikan permohonan habeas corpus mereka ke Mahkamah Tinggi bagi mencabar penahanan salah di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Perkara itu tentukan selepas Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan mereka yang mahukan merit permohonan habeas corpus itu didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru, Johor.
Panel tiga hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat berpuas hati, rayuan tersebut tiada merit dan keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan permohonan habeas corpus itu, disahkan.
Keputusan sebulat suara itu turut dicapai oleh Hakim Datuk Abu Bakar Jais dan Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Pada 14 Januari lalu, Mahkamah Tinggi membatalkan permohonan habeas corpus Nasirudin, 66, dan Azura, 58, tanpa meritnya didengar selepas membenarkan bantahan awal responden-responden.
Hakim Datuk Abu Bakar Katar dalam keputusannya berpendapat, pemohon tidak ditahan secara salah di bawah SOSMA ketika notis usul permohonan habeas corpus itu difailkan pada 24 Oktober tahun lalu.
Sebaliknya, menurut hakim berkenaan, pemohon berada dalam Waran Menahan yang sah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Sesyen Selayang.
Mahkamah Tinggi turut berpendapat, oleh kerana pemohon tidak berada dalam tahanan salah atau tahanan tidak wajar ketika writ difailkan, permohonan itu dengan sendirinya menjadi akademik.
Untuk rekod, permohonan habeas corpus adalah untuk membebaskan individu daripada tahanan salah.
Terdahulu, peguam Datuk Rosli Kamaruddin mewakili pasangan itu berhujah, meskipun Mahkamah Tinggi membenarkan bantahan awal responden, permohonan habeas corpus itu masih boleh didengar dan diputuskan.
Peguam Najib Zakaria turut berhujah, habeas corpus itu mempunyai isu undang-undang yang masih boleh dipertimbangkan oleh mahkamah tertinggi negara.
Sehubungan itu, beliau memohon panel itu meluaskan skop di bawah prinsip undang-undang bagi menentukan sama ada tahanan salah terhadap anak guam mereka, wajar dikategorikan di bawah SOSMA.
“Skop penahanan di bawah SOSMA perlu diteliti kerana ia bukan melibatkan pertuduhan atau perbicaraan yang biasa, sepatutnya remedi khas dibenarkan,” ujar beliau.
Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan, Mohd Zain Ibrahim memohon rayuan itu ditolak atas alasan pemohon-pemohon sepatutnya menggunakan saluran lain berkaitan prosedur jaminan, bukannya menerusi habeas corpus.
“Terdapat kes di bawah SOSMA yang dibenarkan ikat jamin. Nasiruddin tidak dibenarkan jaminan dan tidak mengemukakan rayuan manakala isterinya Azura diberi jaminan oleh mahkamah.
Pada peringkat itu, Ketua Hakim Negara mencelah bahawa prinsip undang-undang berkaitan tahanan salah di bawah habeas corpus merupakan isu yang telah selesai dan diputuskan di mahkamah.
“Kami tidak patut menyimpang daripada keputusan mahkamah terdahulu berkaitan habeas corpus,” ujar Tengku Maimun.
Dalam permohonan itu, pasangan tersebut menamakan Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara, Pendakwa Raya, Pengarah Penjara Negeri Selangor dan Wilayah Kuala Lumpur dan Kerajaan Malaysia, sebagai responden.
Pada 23 Oktober tahun lalu, Nasiruddin dan Azura didakwa atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang mengikut Akta 130V (1) di Mahkamah Sesyen Selayang.
Mengikut pertuduhan, kesemua 13 lelaki dan sembilan wanita berkenaan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang di 33-B, Jalan Desa 1/1, Bandar Country Homes Rawang, antara Oktober 2020 hingga 11 September 2024. – MalaysiaGazette