Gambar hiasan

UALA LUMPUR – Maxim Malaysia sedang mengadakan perbincangan bersama pihak berkuasa yang berkaitan untuk menyelesaikan dakwaan dua aplikasi e-hailing yang dikendalikannya, InDrive dan Maxim beroperasi secara haram.

Dalam satu kenyataan di sini, hari ini, Maxim Malaysia berkata, langkah ini dilakukan segera bagi mengekalkan reputasi dan kepercayaan yang telah dibina selama ini, selain memberi penjelasan jelas kepada pengguna, rakan kongsi, vendor, dan pihak berkepentingan lain yang bekerjasama rapat dengannya.

Menurutnya, Maxim Malaysia akan sentiasa mematuhi undang-undang negara, bekerjasama rapat dengan kerajaan untuk menyelesaikan sebarang isu, dan memberikan sokongan sepenuhnya.

“Kini, syarikat terus beroperasi di Malaysia dan menyediakan perkhidmatan yang tersedia kepada rakyat di seluruh negara.

“Maxim Malaysia mengutamakan keselamatan awam sebagai keutamaan sejak mula beroperasi di Malaysia, kira-kira lima tahun yang lalu. Apabila pengguna memilih aplikasi Maxim dengan pelbagai perkhidmatan yang disediaka, keutamaan ini adalah untuk memastikan mereka berasa selesa dan selamat,” katanya.

Baru-baru ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sudah menghantar surat mengarahkan pemberhentian operasi dua aplikasi e-hailing dari Rusia yang didakwa dijalankan secara haram iaitu InDrive dan Maxim, berkuat kuasa 24 Julai ini.

Katanya, dua syarikat e-hailing berkenaan boleh membuat rayuan namun rayuan itu hanya boleh diputuskan oleh beliau.

Tindakan itu susulan gesaan Persatuan Penghantar P-hailing Malaysia yang mahu kerajaan melaksanakan penguatkuasaan tegas terhadap kedua-dua aplikasi e-hailing tersebut termasuk menyekat akses platform itu kerana menawarkan perkhidmatan tanpa mematuhi peraturan di bawah akta sedia ada.

Maxim Malaysia berkata, ia  menyediakan platform unik yang membolehkan pemandu rakan kongsi, penyedia perkhidmatan, dan pengguna berhubung dan mendapatkan perkhidmatan yang diperlukan.

Pada masa yang sama, apabila pemandu rakan kongsi mendaftar di aplikasi tersebut, mereka menjalani pemeriksaan menyeluruh oleh pegawai khusus, bagi memastikan mereka mempunyai dokumen diperlukan untuk mematuhi garis panduan e-hailing yang ditetapkan oleh APAD dan Kementerian Pengangkutan.

Katanya, prosedur pemeriksaan ketat Maxim Malaysia adalah sebahagian daripada ketelusan korporat bagi menjamin keselamatan awam secara umum.

“Sepanjang tahun beroperasi, Maxim Malaysia telah memberikan sumbangan besar kepada ekonomi dan masyarakat Malaysia.

“Bagi memastikan pemandu rakan kongsi yang berpotensi dapat memperoleh lessen PSV dengan cepat untuk menyertai platform kami, syarikat telah bekerjasama dengan beberapa sekolah memandu di seluruh Malaysia.

“Selain itu, Maxim Malaysia juga bekerjasama dengan JPJ untuk memastikan pemandu berpotensi memahami peraturan dan garis panduan lalu lintas di jalan raya Malaysia,” ujarnya. – MalaysiaGazette

InDrive, Maxim diarah henti operasi -Anthony Loke

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here