Gambar hiasan

Oleh: Yohan Kurniawan

PENDIDIKAN inklusif merupakan satu pendekatan yang memberi peluang kepada semua pelajar, termasuk mereka yang berkeperluan khas, untuk belajar bersama-sama dalam persekitaran pendidikan yang sama. Di Malaysia, dasar pendidikan inklusif telah diterapkan melalui inisiatif Program Pendidikan Inklusif (PPI) di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Program ini bertujuan untuk memastikan pelajar berkeperluan pendidikan khas (PBK) mendapat akses kepada pendidikan yang saksama bersama rakan sebaya mereka dalam arus perdana. Namun begitu, pelaksanaan dasar ini masih menghadapi beberapa cabaran besar, terutamanya apabila melibatkan pelajar kurang upaya mental yang mempunyai keperluan unik dan kompleks berbanding rakan kurang upaya fizikal atau lain-lain kategori.

Fenomena yang berlaku dalam konteks semasa menunjukkan pelajar kurang upaya, tanpa mengira jenis kekurangan upaya, sering kali diletakkan dalam kelas inklusif yang sama. Ini bermakna, dalam satu kelas inklusif, terdapat gabungan pelajar yang mengalami masalah mental seperti autisme, sindrom Down, ADHD dan pelajar yang mengalami kekurangan upaya fizikal seperti kecacatan anggota badan. Keadaan ini sebenarnya bertentangan dengan matlamat asal pendidikan inklusif yang menekankan keperluan individu sebagai asas pengajaran dan pembelajaran.

Pelajar yang mengalami kekurangan upaya mental memerlukan pendekatan pedagogi yang khusus, dengan penggunaan bahan bantu mengajar, komunikasi alternatif, pengurusan tingkah laku, dan sokongan emosi yang berbeza daripada pelajar kurang upaya fizikal. Oleh itu, pencampuran pelajar dengan kategori keperluan yang
berbeza dalam satu kelas telah mewujudkan situasi yang tidak kondusif, bukan sahaja kepada pelajar itu sendiri, tetapi juga kepada guru yang bertanggungjawab mengajar mereka.

Polisi pendidikan inklusif yang diwujudkan oleh KPM sememangnya memberi penekanan kepada integrasi pelajar berkeperluan khas ke dalam kelas biasa secara terancang dan bersesuaian. Namun, bagi memastikan polisi ini memberi impak yang maksimum, terdapat keperluan mendesak untuk menstrukturkan semula pelaksanaan di peringkat sekolah. Salah satu keperluan utama ialah pengasingan pelajar kurang upaya berdasarkan kategori keperluan, khususnya bagi pelajar yang mengalami kekurangan upaya mental.

Ini bukan bermaksud mendiskriminasi, sebaliknya bertujuan untuk menjamin hak setiap pelajar mendapatkan intervensi yang sesuai dengan kapasiti perkembangan dan kebolehan mereka. Dengan menyediakan kelas inklusif khusus untuk pelajar kurang upaya mental, guru dapat merancang pengajaran yang lebih berfokus, menggunakan pendekatan terapeutik dan pendidikan khas yang lebih berkesan.

Tambahan pula, salah satu isu yang sangat ketara ialah kekurangan guru yang benar-benar terlatih dan berketerampilan dalam bidang pendidikan khas mental. Di banyak sekolah, kelas inklusif yang menempatkan pelajar kurang upaya mental diajar oleh guru pendidikan biasa atau guru yang tidak mempunyai latar belakang khusus dalam pendidikan khas.

Ini menimbulkan masalah dari segi strategi pengajaran, pengurusan tingkah laku dan keberkesanan penyampaian ilmu kepada pelajar yang memerlukan pendekatan holistik. Guru-guru ini mungkin tidak memahami sepenuhnya bagaimana untuk mendekati pelajar yang mempunyai tahap perkembangan kognitif yang jauh berbeza, atau yang mengalami kesukaran komunikasi dan interaksi sosial.

Untuk memastikan polisi kelas inklusif benar-benar dilaksanakan dengan berkesan, aspek pembangunan profesionalisme guru perlu diberi perhatian utama. Latihan intensif dan berterusan kepada guru yang mengendalikan kelas inklusif bagi pelajar kurang upaya mental harus dijadikan keutamaan.

Ini termasuk pemahaman mendalam terhadap spektrum gangguan perkembangan, penggunaan kaedah pengajaran berasaskan permainan dan visual, pengurusan emosi serta pembangunan pelan pembelajaran individu (IEP) yang realistik. KPM dan institusi latihan guru perlu meluaskan tawaran kursus pendidikan khas mental serta memastikan setiap sekolah yang mempunyai pelajar kurang upaya mental mempunyai sekurang-kurangnya seorang guru berkelayakan dalam bidang ini.

Selain latihan guru, keberkesanan aplikasi polisi pendidikan inklusif juga bergantung kepada kolaborasi antara pelbagai pihak seperti pentadbir sekolah, ibu bapa, pakar terapi dan komuniti setempat. Kelas inklusif untuk pelajar kurang upaya mental tidak boleh dilihat sebagai ruang pengajaran semata-mata, tetapi perlu dianggap sebagai ekosistem pemulihan dan pembangunan kendiri.

Ini bermakna, proses pengajaran dan pembelajaran dalam kelas ini harus dilengkapi dengan intervensi sokongan seperti terapi pekerjaan, terapi pertuturan, bimbingan psikososial dan aktiviti pembelajaran berasaskan kehidupan harian. Dengan
pendekatan ini, pelajar kurang upaya mental bukan sahaja dapat mengikuti pembelajaran dalam suasana yang selamat dan difahami, tetapi juga membina kebolehan untuk berdikari dan bersosialisasi dalam jangka masa panjang.

Kurikulum yang diguna pakai dalam kelas inklusif juga perlu disesuaikan agar bersifat fleksibel dan boleh diubah suai berdasarkan tahap kebolehan pelajar. Kurikulum berasaskan hasil pembelajaran yang realistik lebih sesuai berbanding pendekatan peperiksaan berasaskan silibus biasa. Guru perlu diberi ruang untuk merancang pelajaran yang bertumpu kepada pembangunan kemahiran asas seperti pengurusan diri, komunikasi fungsional, dan pembentukan tingkah laku positif. Pelaksanaan kurikulum ini perlu dipantau secara sistematik oleh pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah bagi memastikan ia benar-benar memberi manfaat kepada pelajar.

Secara keseluruhannya, penambahbaikan kelas inklusif untuk pelajar kurang upaya mental menuntut keseriusan semua pihak dalam memahami hakikat bahawa keperluan pelajar-pelajar ini adalah berbeza dan memerlukan pendekatan tersendiri. Penyatuan pelajar kurang upaya dalam satu ruang yang sama tanpa mengambil kira jenis kekurangan upaya mereka akan mengurangkan keberkesanan intervensi pendidikan.

Polisi yang sedia ada sudah mempunyai kerangka yang baik, namun perlu diperkasa dengan pelaksanaan yang lebih berfokus dan berpaksikan kepada realiti murid dan kemampuan guru. Melalui pembahagian kelas berdasarkan jenis keperluan, latihan guru yang mencukupi, dan penyediaan sokongan holistik, kita boleh memastikan bahawa matlamat pendidikan inklusif benar-benar tercapai untuk pelajar kurang upaya mental—bukan sekadar dari segi kehadiran mereka dalam kelas, tetapi melalui peningkatan kualiti hidup dan pembangunan potensi diri yang sebenar.

Penulis adalah pensyarah kanan di Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here