KUALA LUMPUR – Pas akan kekal relevan sebagai sebuah parti politik Islam sekiranya dua pemimpin utama iaitu Presiden dan Timbalan Presiden adalah daripada golongan ulama.
Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Mokhtar Senik berkata, ini kerana roh perjuangan Pas adalah Islam, justeru adalah mustahil pemimpin yang tidak menguasai ilmu Islam boleh meniupkan nafas Islam dalam Pas.

“Pas tak perlu jadi macam DAP untuk jadi parti sekular. Pas tak perlu jadi UMNO atau PKR untuk berubah wajah jadi parti sekular.
“Tapi cukup dengan dipimpin oleh pemimpin yang tidak mendalami ilmu Islam…lama kelamaan jadi sekular lah Pas. Sekular versi Pas,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Sehubungan itu, tambah Mokhtar, dua posisi penting dalam Pas tidak boleh dipandang remeh sekiranya ahli-ahli parti masih sayangkan Pas yang asal.
“Walaupun menurut demokrasi dan keterbukaan Pas kedua-dua jawatan ini boleh dan sah dipertandingkan. Namun demokrasi, demokrasi la juga tapi jangan sampai jahanam PAS. Terbuka tu terbuka lah juga, jangan sampai koyak rabak,” katanya.
Sebelum ini, wujud desakan berterusan oleh pihak tertentu supaya dua jawatan tertinggi Pas iaitu Presiden dan Timbalan Presiden dipertandingkan pada pemilihan parti itu hujung tahun ini.
Bagaimanapun, Mokhtar adalah antara pemimpin Pas yang teguh dengan pendirian supaya dua jawatan tertinggi itu yang kini disandang Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai Presiden dan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai Timbalan Presiden tidak dipertandingkan kerana menyifatkan Pas masih memerlukan ketokohan dua pemimpin berkenaan. – MalaysiaGazette