GEORGE TOWN – Seorang lelaki tempatan yang terlibat dalam kes pecah kedai dobi layan diri dan farmasi membabitkan kerugian ratusan ribu di sekitar negeri ini mati selepas berbalas tembakan dengan  polis dalam kejadian di Lintang Bukit Jambul, di sini hari ini.

Difahamkan, suspek berusia 36 tahun yang juga pekerja bengkel baiki kereta serta motosikal itu memandu seorang diri kereta jenis BMW 330e dalam keadaan mencurigakan pada jam 4.05 pagi sebelum pasukan D9 dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang dan Timur Laut meminta dia memberhentikan kenderaan.

Bagaimanapun, suspek dikatakan cuba meloloskan diri termasuk melepaskan tembakan menyebabkan anggota polis di lokasi terpaksa melepaskan dua das tembakan bagi menyelamatkan diri.

Difahamkan, dua das tembakan terkena pada bahagian anggota badan suspek dan pemeriksaan lanjut termasuk ke atas kereta yang dinaikinya membawa kepada penemuan sepucuk pistol, sebilah parang, dadah serta peralatan pecah masuk rumah.

Semakan lanjut pihak polis turut mendapati suspek mempunyai 34 rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah selain terlibat dalam kes pecah masuk dobi layan diri, farmasi serta samun di daerah Timur Laut, Barat Daya serta Seberang Perai Tengah.

Mayat suspek dihantar ke Hopsital Pulau Pinang untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan serta Seksyen 8 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971.

Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad ketika dihubungi MalaysiaGazette mengesahkan kejadian dan memaklumkan siasatan lanjut masih dijalankan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here