C. Sivarraajch
C. Sivaraj

KUALA LUMPUR – Pelajar yang mendapat sekurang-kurangnya 9A iaitu gabungan A+, A, dan A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seharusnya turut diberi pertimbangan automatik ke program Matrikulasi.

Ini kerana, kata Ahli Dewan Negara, Datuk C. Sivaraj, calon SPM tidak diwajibkan mengambil 10 mata pelajaran, selain ramai dalam kalangan pelajar bukan Islam khususnya tidak mengambil lebih sembilan subjek atas kekangan tertentu.

Sehubungan itu, tambah beliau, menghukum mereka kerana mengambil kurang satu subjek adalah tidak adil dan tidak mencerminkan dasar pendidikan yang progresif.

“Ramai pelajar, terutamanya daripada kumpulan bukan Bumiputera dan sekolah harian biasa, hanya mengambil sembilan subjek.

“Ini bukan kerana mereka lemah, tetapi kerana struktur sekolah, kemampuan persekitaran dan tumpuan terhadap kualiti, bukan kuantiti.

“Ramai daripada mereka memperoleh 9A, termasuk A dan A+, tetapi tetap tercicir daripada tawaran automatik kerana tidak mengambil 10 subjek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kerajaan sebelum ini memutuskan semua pelajar lepasan SPM yang berjaya memperoleh keputusan 10A dan ke atas bakal diberikan ruang untuk melanjutkan pelajaran di peringkat matrikulasi.

Perkara itu hasil keputusan perbincangan mesyuarat Jemaah Menteri bagi memastikan semua pelajar cemerlang tanpa mengira kaum diberi peluang sama adil dalam mendapat pendidikan lebih tinggi.

Sementara itu, Sivaraj turut mencadangkan supaya gred A- dimasukkan sebagai sebahagian daripada kategori `Cemerlang’, selari dengan tafsiran yang digunapakai dalam syarat kemasukan ke Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) oleh Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).

Katanya, penolakan terhadap A- secara automatik seolah-olah menafikan nilai kerja keras pelajar yang berada dalam lingkungan prestasi tinggi.

“Maka, adalah wajar definisi `Cemerlang’ bagi Matrikulasi turut diselaraskan agar tidak berlaku tafsiran berbeza dalam satu sistem yang sama,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan yang prihatin tidak seharusnya menutup mata terhadap suara anak-anak muda yang telah membuktikan kemampuan mereka.

Jelasnya, dalam dunia yang semakin mencabar ketika ini, negara tidak boleh diuruskan dengan sentimen dan slogan semata-mata.

“Pendidikan bukan ruang eksperimen, ia medan keadilan.

“Saya percaya Malaysia tidak begitu kecil dan lemah sehingga berlaku adil pun dianggap mengancam sesiapa.

“Negara ini cukup besar untuk menampung keadilan kepada semua, kalau ada kemahuan, dan kalau ada keberanian,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here