KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas menggesa kerajaan-kerajaan negeri lain untuk mencontohi langkah progresif yang telah diambil oleh Perlis, Terengganu dan Johor dalam mengharamkan penjualan vape.
Ketuanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, ia bagi menjamin kesihatan awam, melindungi generasi muda dan memelihara masa depan negara daripada bahaya penggunaan vape yang semakin meruncing.
Menurut beliau, tindakan tiga kerajaan negeri itu wajar dipuji kerana mencerminkan kepimpinan yang berpandangan jauh dalam melindungi rakyat khususnya golongan muda daripada bahaya dan kesan negatif penggunaan vape yang semakin membimbangkan.

“Langkah tersebut juga sejajar dengan saranan Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM) yang menegaskan perlunya tindakan tegas daripada kerajaan untuk mengharamkan vape secara menyeluruh, bagi mengekang ketagihan nikotin dan mencegah risiko penyalahgunaan dadah dalam kalangan generasi muda,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, Kerajaan Negeri Perlis akan mengharamkan penjualan vape di negeri itu berkuat kuasa 1 Ogos depan melibatkan kurang daripada 50 premis selaras dengan fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan sebelum ini yang mengharamkan penggunaan vape.
Sementara itu, Taib Azamudden yang juga Ahli Parlimen Alor Setar berkata, apa yang lebih membimbangkan, kerajaan ketika ini terpaksa menanggung kos rawatan yang tinggi akibat penyakit berkaitan vape.
Ujarnya, kajian menunjukkan kos rawatan bagi satu kes berkaitan vape (Evali) boleh mencecah RM150,892.11 bagi seorang pesakit yang dirawat selama 12 hari di hospital.
“Tanpa kawalan yang tegas, kos ini dijangka melonjak kepada RM369 juta setahun menjelang 2030,” katanya. – MalaysiaGazette