Siti Fairuz Rohaliza menerima anugerah yang disampaikan oleh Aishah Ong.

KUALA LUMPUR – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengharumkan persada pendidikan negara apabila alumni cemerlangnya, Siti Fairuz Rohaliza Ejahar, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Siswi Cemerlang 2025 oleh Persatuan Siswazah Wanita Malaysia (PSWM).

Lebih membanggakan, beliau turut merupakan penerima Anugerah Pelajaran Diraja sempena Istiadat Konvokesyen UPSI Ke-26 yang lalu, menjadikan pencapaiannya sebagai antara yang paling cemerlang dalam kalangan graduan institusi pengajian tinggi negara.

Anugerah Siswi Cemerlang yang mula diperkenalkan pada tahun 1993 merupakan inisiatif PSWM dalam mengiktiraf siswazah wanita yang bukan sahaja mencapai kecemerlangan akademik, malah menonjol dalam kepimpinan, keterlibatan masyarakat, sahsiah terpuji serta pemikiran kritis dan kualiti yang menjadi tonggak pembentukan insan seimbang menurut Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Siti Fairuz Rohaliza merupakan graduan pendidikan yang dinilai cemerlang dalam semua aspek dan berjaya menambat hati panel penilai melalui prestasi akademik luar biasa, penglibatan aktif dalam kegiatan kokurikulum, serta daya kepimpinan dan empati sosial yang tinggi.

Beliau bukan sahaja menjadi inspirasi rakan seperjuangan, malah bukti nyata kemampuan wanita muda Malaysia untuk bersinar di peringkat tertinggi.

“Anugerah ini bukan hanya milik saya, tetapi milik semua pendidik, keluarga dan insan yang menyokong saya sepanjang perjalanan ini. Ia adalah satu tanggungjawab untuk terus menyumbang kembali kepada masyarakat dan negara,” kata Siti Fairuz.

Anugerah berprestij ini telah disampaikan oleh Penaung PSWM, Toh Puan Datuk Seri Dr. Aishah Ong, dalam satu majlis yang penuh penghormatan dan memperakui keunggulan siswazah wanita dalam mendepani cabaran masa kini dan membentuk masa
depan negara.

Penganugerahan berprestij ini turut menyerlahkan reputasi UPSI sebagai institusi Pendidikan unggul yang konsisten melahirkan siswazah berdaya saing, berintegriti dan berjiwa rakyat.

Kejayaan Siti Fairuz membuktikan universiti bukan sekadar medan meraih ilmu, tetapi juga platform membentuk pemimpin masa hadapan.

PSWM dalam kenyataannya menyifatkan Siti Fairuz sebagai lambang siswazah wanita ideal yang seimbang antara kecerdasan intelek, kekuatan peribadi dan tanggungjawab sosial.

“Inilah model graduan yang kita mahu tonjolkan dan yang mampu menjadi agen perubahan dan suri teladan generasi akan datang,” ujar PSWM. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here